SINGAPURA: Membangunkan pemimpin berkebolehan tinggi yang memegang teguh nilai teras seperti meritokrasi dan ‘tak makan suap’ merupakan bidang tumpuan utama pembangunan kepimpinan di Singapura, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Chan Chun Sing.
Berucap di forum Singapura-China ke-8 mengenai kepimpinan, beliau yang juga Menteri Pendidikan, berkongsi tiga bidang tumpuan bagi pembangunan kepimpinan di Singapura.
Membangunkan pemimpin berkebolehan tinggi berpaksikan nilai teras adalah salah satu daripadanya, katanya seperti dilaporkan Berita Mediacorp.
“Sama seperti rakan sejawat kami di China, kami amat percaya bahawa nilai murni (dan) peranan mereka dalam membentuk tadbir urus adalah sangat penting. Memilih dan membangunkan bukan sahaja yang paling berkebolehan, tetapi juga individu yang paling komited untuk kepimpinan, kekal menjadi keutamaan kami.
“Pengalaman Singapura dalam menguruskan pandemik Covid-19 menunjukkan ia bukan sekadar ketepatan teknikal tindak balas, tetapi sama ada rakyat mempercayai pemerintah untuk melakukan apa yang perlu untuk melindungi kepentingan awam walaupun di tengah-tengah ketidakpastian.
“Oleh itu, pemimpin harus berpegang teguh kepada nilai-nilai teras, seperti meritokrasi dan tak makan suap, dan sentiasa mengutamakan kepentingan awam melebihi diri sendiri. Dalam dunia yang tidak menentu, nilai teras menjadi lebih penting, kerana keberkesanan kepimpinan bergantung kepada kepercayaan. Nilai-nilai ini tidak berubah. Inilah nilai yang kami cari apabila memilih pemimpin dan pasukan kepimpinan, dan kami terus memupuknya sepanjang perjalanan kepimpinan,” katanya.
Jelasnya, memupuk kerencaman yang lebih meluas dalam ‘kolektif kepimpinan’ Singapura juga diperlukan untuk membina daya tahan.
Katanya, dalam perkhidmatan awam Singapura, pemimpin terdedah kepada ‘domain yang berbeza’, termasuk dasar, operasi, pengerahan dan perhubungan.