Limpahan empangan: 9 wilayah berisiko tenggelam - Utusan Malaysia

Limpahan empangan: 9 wilayah berisiko tenggelam

BANJIR di wilayah Ayutthaya menyebabkan kawasan dusun tenggelam dan merugikan petani. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Banjir yang dise­babkan ribut Dianmu masih melanda 18 wilayah di utara, timur laut dan tengah Thailand dengan 10 wilayah berdepan kenaikan paras air, lapor Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana, semalam.

Banjir sejak 23 September lalu menjejaskan kehidupan 229,220 keluarga di 31 wilayah, tujuh korban dicatatkan dengan seorang lagi masih belum ditemukan.

Dalam pada itu, penduduk di sekitar Sungai Chao Phraya diingatkan supaya berjaga-jaga dengan musibah banjir sehingga Selasa depan.

Bangkok Post melaporkan, sembilan wilayah lain di wilayah tengah turut dikeluarkan amaran sedemikian selepas tindakan melepaskan air dari Empangan Pasak Jolasid dipercepatkan.

Ini melibatkan Chai Nat, Sing Buri, Ang Thong, Lop Buri, Ayutthaya, Saraburi, Pathum Thani, Nonthaburi dan Bangkok.

Gabenor Bangkok, Aswin Kwanmuang berkata, Jabatan Meteorologi meramalkan angin­ monsun melanda kawasan wilayah tengah yang lebih rendah dan bahagian atas selatan yang akan menyebabkan hujan lebat.

Akibatnya, limpahan air hujan dari lembangan Sungai Chao Phraya akan mengalir ke Empangan Chao Phraya di Chai Nat pada kadar 3,200 meter padu per saat.

Katanya, Jabatan Pengairan Diraja diminta menguruskan limpahan air tersebut dan me­ngalihkannya ke terusan peng­airan.

Langkah itu jelasnya, dapat membantu mengurangkan isi padu air kepada 2,700 meter padu per saat.

“Majlis Perbandaran sedang memantau situasi tersebut terutamanya di kawasan rendah di sepanjang Sungai Chao Phraya di Bangkok.

“Kami turut memastikan kekuatan tembok penghadang banjir yang dibina sepanjang 78.93 kilometer di kedua-dua bahagian sungai. Beg pasir turut diletakkan di kawasan tersebut.

“Semua 97 stesen pam air di sepanjang sungai itu turut diperiksa kesediaannya,” katanya.

Terdapat 239 isi rumah di 11 penempatan di kawasan itu dan penduduk diingatkan memindahkan barang berharga ke kawasan lebih tinggi bagi mengelakkan kerosakan akibat peningkatan paras air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN