Harapan bangunkan semula Gaza - Utusan Malaysia

Harapan bangunkan semula Gaza

JENGKAUT dari Mesir membantu membersihkan runtuhan konkrit di bandar Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Peperangan yang meletus di Semenanjung Gaza Mei lalu menyebabkan banyak runtuhan bangunan dan rumah hancur berkecai sehingga ramai keluarga hilang tempat perlindungan.

Namun, harapan mula bersinar selepas penduduk Gaza, Ayman Dahman dijanjikan rumahnya dapat dibaiki semula.

Rumah lelaki itu hancur musnah akibat diserang Zionis Israel sehingga dia sudah berputus asa sejak beberapa bulan lalu seperti dilaporkan Arab News.

 

Kenyataan Mesir dan Qatar mengenai proses pembinaan semula yang akan dipercepatkan memberikan sinar di hujung terowong.

Jawatankuasa Mesir bagi Pembinaan Semenanjung Gaza mengumumkan pelancaran projek pembangunan pertama di Gaza: pembinaan Jalan Al-Rasheed di Beit Lahia, 19 Oktober lalu.

Ayman tinggal bersama enam ahli keluarganya yang lain di bangunan perumahan lima tingkat yang turut didiami 10 keluarga lain di utara Gaza.

Selepas rumahnya musnah, dia sekeluarga tinggal bersama anak lelakinya di pangsapuri kecil dua bilik.

Sejurus peperangan berakhir, dia berpindah ke tempat lain dan menyewa rumah yang dibayar oleh Agensi Kerja dan Tabung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

UNRWA memberikan sebanyak AS$1,500 (RM6,226) bagi elaun sewa dan AS$500 (RM2,075) untuk membeli perabot asas perumahan bagi setiap mangsa yang kehilangan rumah sendiri semasa peperangan.

Menurut Ayman, Menteri Perumahan dan Tugas Awam Gaza yang dikendalikan pejuang Hamas menghubungi dirinya beberapa hari lalu, bagi melakukan persediaan pelan kejuruteraan dan pembinaan semula bangunan itu.

Dalam masa sama, Ketua Jawatankuasa Pembinaan Qatar, Mohammed Al-Emadi mengumumkan dalam masa beberapa hari lagi Gaza bakal menyaksikan proses pecutan pembinaan semula.

Mesir berjanji dengan pejuang Hamas semasa lawatan di Kaherah awal bulan ini, untuk mempercepatkan fasa pembinaan semula serta membina fasiliti ekonomi dan perdagangan di sempadan Rafah yang memisahkan Gaza dan Mesir.

Selepas peperangan berakhir, Mesir berjanji memberikan geran AS$500 juta (RM2.08 bilion) sebagai sumbagan pembinaan semula serta menghantar delegasi jurutera bagi mengalihkan sisa runtuhan.

Setiausaha Menteri Perumahan dan Tugas Awam, Naji Sarhan berkata, geran projek itu merangkumi pembinaan tiga bandar perumahan di Beit Lahia, Jabalia, utara Gaza dan kawasan Al-Zahra, selatan Gaza.

Menurut perjanjian, tiga bandar itu melibatkan 2,000 unit perumahan dengan keutamaan diberikan kepada penduduk miskin dan berpendapatan rendah.

Pembinaan jambatan dan jalan raya turut dalam perancangan.

Naji menjelaskan penduduk mengalami kerugian akibat sektor perumahan dan pembinaan musnah melibatkan 1,500 unit rumah hancur, 880 unit rosak teruk dengan kerugian dianggarkan AS$145 juta (RM601,880).

“Kerosakan lain melibatkan infrastruktur seperti bangunan awam, jalan raya, tenaga, komunikasi dan sanitasi dengan anggaran pembinaan semula bernilai AS$293 juta (RM1.2 bilion).

“Kerugian turut melibatkan sektor ekonomi, perdagangan, kesihatan, pendidikan dan pertanian, selain kerugian tidak langsung akibat peperangan,” jelasnya.

Gaza dianggarkan memerlukan AS$2 bilion (RM8.3 bilion) bagi kos menghidupkan semula Semenanjung itu selepas bertahun-tahun dilanda konflik peperangan.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya