Gempa bumi Pakistan: Tiada rakyat Malaysia terlibat - Utusan Malaysia

Gempa bumi Pakistan: Tiada rakyat Malaysia terlibat

SEORANG lelaki duduk di sebelah jenazah anaknya yang maut selepas bumbung rumah runtuh akibat gempa bumi di kawasan pergunungan di Harnai, Balochistan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan lebih 200 mengalami kecederaan apabila gempa bumi sekuat 5.9 pada skala Richter melanda selatan Pakistan, awal pagi semalam.

Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Islamabad, Deddy Faisal Ahmad Salleh berkata, setakat ini, tiada rakyat Malaysia terkorban mahupun cedera dalam bencana yang melanda wilayah Balochistan.

“Tiada, mengikut rekod pendaftaran kami.

“Setakat maklumat yang saya ada, laporan kematian dan kecederaan itu melibatkan rakyat Pakistan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut Deddy Faisal, berdasarkan rekod pendaftaran, tiada rekod rakyat Malaysia yang menetap di bandar Quetta, wilayah Balochistan.

“Justeru kami menyeru mana-mana rakyat Malaysia di Pakistan yang masih belum mendaftar untuk segera berbuat demikian.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad boleh dihubu­ngi menerusi e-mel [email protected],” jelasnya.

Sementara itu, memetik AFP, gempa bumi itu melanda wilayah tersebut ketika keba­nyakan penduduk sedang tidur.

Malah, ramai mangsa mening­gal dunia dihempap bumbung dan dinding runtuh.

Dilaporkan, kawasan teruk terjejas akibat bencana itu adalah di kawasan pergunungan di Harnai, Balochistan yang mana kekurangan jalan raya berturap, masalah bekalan elektrik dan talian telefon menghalang operasi menyelamat mangsa.

Pegawai kanan wilayah, Anwar Hashmi berkata, seorang wanita dan enam kanak-kanak antara 20 mangsa yang maut.

Ketua Agensi Pengurusan Bencana Wilayah Balochistan, Naseer Nasar memberi amaran angka kematian mungkin me­ningkat.

Katanya, gempa bumi itu mengakibatkan bekalan elektrik terputus di wilayah tersebut sehingga menyukarkan lagi kakitangan perubatan merawat mangsa cedera di hospital.

Seorang pegawai kanan di hospital di Harnai, Zahoor Tarin berkata, mereka beroperasi de­ngan bantuan lampu suluh di­sebabkan bekalan elektrik terputus sebelum subuh.

Wilayah yang sama itu pernah dilanda gegaran dengan kekuatan 7.7 skala Richter pada 24 September 2013 lalu yang turut membunuh 825 orang dan lebih 700 penduduk lagi cedera.

Kali terakhir Pakistan mengalami gempa bumi ialah pada 24 September 2019 lalu di Mirpur, Azad Kashmir dengan kekuatan 5.6 skala Richter yang meragut 40 nyawa dan 852 cedera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN