Filipina dibelenggu krisis pendidikan - Utusan Malaysia

Filipina dibelenggu krisis pendidikan

JONATHAN Mapa mencari barangan yang boleh dikitar semula. – CNA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Filipina kini sedang melakukan persiapan untuk pembukaan semula sesi persekolahan di 120 sekolah pada bulan depan.

Filipina merupakan antara dua negara di dunia yang tidak melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka sejak penularan pandemik Covid-19.

Usaha pembukaan semula sesi persekolahan bakal memberi sinar baharu kepada golongan kanak-kanak di negara itu.

Namun, bagi Jonathan Mapa, 12, dan kira-kira 2.3 juta kanak-kanak yang dikatakan tercicir pembelajaran sejak Mac lalu, pembukaan semula sekolah mungkin sudah terlambat bagi mereka.

Sebelum ini, Jonathan menggunakan telefon bimbit milik kakaknya untuk mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian selepas sekolah ditutup akibat pandemik Covid-19.

Namun, semuanya terhenti selepas kakak Jonathan terpaksa berpindah ke bandar lain untuk bekerja dan keluarganya tidak mampu membeli sebuah telefon bimbit baharu.

“Kami tidak mempunyai wang lagi untuk membeli makanan. Saya iri hati dengan kanak-kanak lain. Mereka memiliki telefon bimbit,” luah Jonathan sambil menangis.

Jonathan turut melakukan kerja-kerja berbahaya sejak sembilan bulan lalu untuk memperoleh pendapatan bagi menyara keluarganya.

Sesi PdP amat mencabar bagi kanak-kanak yang dapat meneruskan pendidikan mereka.

Satu tinjauan menunjukkan hasil pembelajaran secara jarak jauh dan modular tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

Menurut pakar, kesan penutupan sekolah akan memberi kesan kepada jumlah gaji yang diterima oleh golongan kanak-kanak itu sekali gus memerangkap mereka dalam kitaran kemiskinan.

Data baharu menunjukkan krisis pembelajaran boleh menjejaskan produktiviti dan ekonomi Filipina untuk tempoh 40 tahun akan datang.

CABARAN KEPERLUAN ASAS

Sebelum pandemik Covid-19, pemandu teksi kenderaan roda tiga di Filipina, Jonathan Mapa Senior memperoleh wang secukupnya untuk membeli makanan, membayar bil, yuran sekolah serta memberi belanja sebanyak 10 peso (RM0.80 sen) sehari kepada anaknya.

Kini, dia tidak mampu membayar sewa rumah, bil elektrik dan air.

Walaupun ramai kanakkanak di Tondo mencari barangan kitar semula semasa pandemik Covid-19, lelaki berusia 47 tahun itu tidak mahu anaknya yang juga dikenali sebagai Jonathan, turut sama melakukan pekerjaan berbahaya itu.

“Saya hanya mengetahui perkara ini selepas dimaklumkan oleh isteri saya.

“Anak saya tidak meminta izin untuk bekerja kerana dia tahu saya tidak akan membenarkannya.

“Jonathan terlalu muda dan berpotensi mengalami kemalangan ketika bekerja. Malah, dia juga berisiko untuk ditangkap oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Sementara itu, seorang pemerhati menegaskan kerajaan terlepas pandang kesan pandemik Covid-19 terhadap golongan belia di negara itu.

Malah, katanya, penutupan sekolah juga menjejaskan seluruh generasi.

“Saya tidak mahu bersikap terlalu pesimis, namun, kita harus sedar rakyat benar-benar sedang menghadapi krisis.

“Bukan hanya krisis pembelajaran tetapi krisis generasi yang akan memberi kesan kepada semua segmen masyarakat,” kata penyelidik kanan di Ateneo School of Government, Dr. Edilberto De Jesus – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya