BEIJING: Presiden China, Xi Jinping menegaskan ‘penyatuan semula’ dengan Taiwan ‘mesti dipenuhi’.
Katanya, penyatuan mesti dilaksanakan secara aman, namun memberi amaran orang China mempunyai ‘tradisi gemilang’ menentang pemisahan.
Beliau malah memberitahu Beijing tidak akan teragak-agak menggunakan segala kekuatan bagi mencapai hasrat penyatuan tersebut.
Jelasnya, beliau mahu melihat penyatuan damai berlaku di bawah dasar ‘satu sistem dua negara’ seperti yang berlaku di Hong Kong.
“Tugas penyatuan semula tanah air penuh bersejarah perlu dilaksanakan dan pasti akan dilaksanakan.
“Pemisahan kemerdekaan Taiwan adalah halangan terbesar untuk mencapai penyatuan semula tanah air dan bahaya tersembunyi paling serius untuk proses rejuvenasi negara,” katanya.
Jinpin berkata demikian selepas China meningkatkan operasi ketenteraan di Zon Pengenalan Pertahanan Udara (ADIZ) Taiwan dengan menerbangkan 150 pesawat, hujung minggu lalu.
Ucapan Jinpin sempena ulang tahun ke-110 revolusi menggulingkan dinasti imperialis China pada 1911, dilihat lebih damai berbanding kenyataan Julai lalu yang berjanji akan menghancurkan sebarang percubaan kemerdekaan Taiwan secara rasmi.
Sebagai respon terhadap kenyataan itu, Pejabat Presiden Taiwan menjelaskan masa depan pulau itu bergantung kepada tangan rakyatnya.
Menurut pejabat itu, pendapat umum sangat jelas menolak satu sistem dua negara.
Taiwan malah mendesak Beijing supaya meninggalkan ‘langkah provokatif pencerobohan, gangguan dan kehancuran’.
Taiwan menganggap wilayahnya sebagai negara berdaulat, sedangkan China melihat Taiwan sebagai wilayah yang terpisah.
Walaupun ketegangan meningkat selama beberapa minggu terakhir, hubungan China dan Taiwan tidak merosot seperti kali terakhir dilihat 1996 ketika China mengganggu pemilihan presiden dengan ujian peluru berpandu dan AS menghantar kapal induk ke wilayah itu bagi menghalangnya.
China sebelum ini memberi bayangan Perang Dunia Ketiga (WWIII) boleh berlaku pada ‘bila-bila masa’ serta memberi amaran negara itu hanya ‘menunggu masa’ merampas semula Taiwan.
Beberapa negara barat turut melahirkan kegusaran apabila China mempamerkan kekuatan ketenteraan di wilayah itu.