NEW YORK: Seorang veteran Perang Dunia Kedua dari Amerika Syarikat (AS) meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-112, semalam.
Lapor New York Post, Lawrence Brooks menyambut hari jadi di rumahnya yang terletak di New Orleans dalam satu majlis ringkas.
Majlis itu hanya dihadiri beberapa tetamu yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP) membendung penularan Covid-19.
Pada majlis itu, Brooks menasihati semua orang untuk sentiasa berbuat baik sesama manusia.
Majlis tersebut dianjurkan oleh Muzium Nasional Perang Dunia Kedua di New Orleans.
Brooks dilahirkan pada 12 September 1909.
Beliau pernah berkhidmat dalam perkhidmatan tentera AS dari 1940 hingga 1945 sebagai sebahagian Batalion Jurutera ke-91 yang didominasi Afrika-Amerika.
Brooks ditempatkan di New Guinea diikuti Filipina dan naik pangkat kelas pertama semasa perang dunia itu.
Dilaporkan, Brooks mempunyai lima anak, 13 cucu serta 22 cicit.
Sementara itu, Gabenor Louisiana, John Bel Edwards memuat naik sekeping gambar bersama veteran itu di laman Twitter.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Brooks atas sumbangannya. – AGENSI










