JAKARTA: Membuang sampah merata-rata, tanpa ada sikap bertanggungjawab kepada kesihatan alam sekitar, merupakan dosa yang nantinya akan diminta untuk dipertanggungjawabkan.
Tribun News melaporkan, perkara itu ditegaskan Ketua Lembaga Pemulihan Lingkungan Hidup dan Sumber Daya Alam, Majlis Ulama Indonesia (MUI), Hayu S Prabowo.
Beliau memetik hadis Rasulullah SAW yang bersabda: “Takutilah tiga tempat yang dilaknat membuang kotoran (sampah), pada sumber air yang mengalir, di jalan dan di tempat berteduh”.
Menurut beliau, ketika ini sampah-sarap banyak dibuang di kawasan sungai dan kemudiannya menimbulkan masalah kesihatan kepada masyarakat.
“Walhal sudah ada sabda Rasulullah SAW. Itu adalah dosa yang nantinya akan dipertanggungjawabkan,” katanya.
Berdasarkan rekod Kementerian Lingkungan Hidup dan Kehutanan pada tahun lalu, sebanyak 54 peratus daripada jumlah sampah plastik masih terbuang di persekitaran termasuk di sungai dan laut.










