GAZA CITY: Kejayaan enam tahanan Palestin memboloskan diri dengan hanya ‘bersenjatakan’ sudu dari Penjara Gilbao, dikatakan antara penjara paling tinggi tahap keselamatannya, telah merosakkan prestij rejim Zionis.
Perkara itu ditegaskan kumpulan Hamas seperti dilaporkan Anadolu Agency.
Isnin lalu, enam tahanan Palestin mengorek lubang menggunakan sudu dan berjaya lolos dari penjara tersebut yang terletak di utara Israel.
Namun, pasukan tentera Israel berjaya menangkap semula empat daripada mereka.
Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum berkata, tindakan rejim Zionis memburu tahanan berkenaan ‘hanyalah pusingan pertama dalam konflik terbuka terhadap penjajahan Israel’.
“Babak ini akan menjadi pendorong bagi rakyat Palestin di Tebing Barat untuk meneruskan pemberontakan terhadap penjajahan (rejim Zionis),” katanya.
Menurut beliau, apa yang dilakukan oleh enam tahanan itu ‘telah menghidupkan kembali harapan kebebasan dalam kalangan rakyat Palestin.
‘Kejayaan’ enam tahanan itu disambut sebagai kemenangan besar bagi Palestin sementara penduduk Yahudi menyatakannya sebagai kegagalan sistem keselamatan dan perisikan.










