JAWA TIMUR: Akibat sakit hati dengan tindakan bekas kekasih yang memutuskan hubungan cinta, seorang lelaki nekad membocorkan video lucah mangsa dengan dirinya.
Tribunnews melaporkan, Ketua Unit Siasatan Jenayah Magetan, Rudy Hidajanto berkata, mangsa tidak mengetahui teman lelakinya pernah merakamkan video menggunakan telefon bimbit sepanjang setahun mereka menjalinkan hubungan.
Katanya, video yang disebarkan oleh pemuda dari Magetan itu menjadi tular dalam media sosial.
“Suspek menjadi sakit hati apabila mangsa meminta hubungan mereka putus kerana dia sangat mencintai kekasihnya.
“Lelaki itu mengaku membuat video lucah bersama mangsa ketika masih menjadi pasangan kekasih untuk koleksi peribadinya,” jelasnya.
Menurut Rudy, perbuatan pelaku adalah berunsurkan jenayah dan suspek akan didakwa ke Mahkamah Daerah Magetan.
“Kami berjaya merampas bahan bukti seperti telefon bimbit yang mengandungi video lucah tersebut,” katanya.