DURBAN: Jenayah rasuah akan terus berleluasa kerana ramai individu takut bersuara akibat bimbang tidak mendapat perlindungan sebagai pemberi maklumat walaupun pada masa sama terdapat individu yang berani tampil mengenai hal itu.
Perkara itu dibangkitkan oleh aktivis hak asasi manusia, Dr. Mary De Haas selepas melihat laporan Analisis Trend Rasuah (ACT) yang disiarkan oleh Corruption Watch mengenai sejauh mana rasuah berlanjutan sepanjang tempoh separuh pertama tahun ini.
Sehingga hari ini, sebanyak 1,964 pemberi maklumat direkodkan melaporkan kes rasuah bagi sektor awam dan swasta.
Laporan memperincikan mengenai keperluan rakyat Afrika Selatan yang mahu dilindungi ketika melaporkan kes rasuah.
Dalam masa sama, kes rasuah yang dilaporkan oleh orang awam menunjukkan jenayah itu masih berleluasa.
Penyelidik Corruption Watch, Melusi Ncala yang menulis laporan itu berkata, organisasi itu melihat trend sama selama bertahun-tahun dengan rasuah yang biasa dilakukan melibatkan penyelewengan, perjanjian perolehan yang tidak masuk akal, penipuan dan penyalahgunaan kuasa.
Keadaan itu menunjukkan usaha sektor awam dan swasta membanteras masalah rasuah di negara itu ‘sangat tidak memadai’.
Beliau juga menjelaskan pemberi maklumat hidup dalam persekitaran yang bahaya, susulan pembunuhan pegawai kerajaan, Gauteng Babita Deokaran, bulan lalu. – AGENSI