fbpx

22 Oktober 2021, 12:17 pm

  TERKINI

Petugas kesihatan Filipina dakwa kerajaan abai kebajikan

PETUGAS kesihatan mengadakan protes bagi menuntut kebajikan mereka diutamakan di Manila, Filipina. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANILA: Sejumlah petugas kesihatan Filipina melakukan protes di sini bagi menuntut kerajaan supaya ‘bertanggungjawab dan tidak mengabaikan kebajikan mereka’ selepas penularan varian Delta hampir melumpuhkan sistem kesihatan di negara ini.

Kumpulan petugas kesihatan melakukan tunjuk perasaan itu dengan mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) di Jabatan Kesihatan Filipina sambil memegang plakad yang mendesak kerajaan memberi elaun risiko dan Menteri Kesihatan, Francisco Duque meletak jawatan.

Duque sebelum ini berkeras untuk tidak meletak jawatan dan menyatakan beliau masih mendapat kepercayaan daripada Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.

Kelmarin, jumlah kes jangkitan Covid-19 di negara ini melepasi dua juta dengan jumlah kematian lebih 33,000 kes.

“Adalah amat menyedihkan kerana ramai dalam kalangan kami meninggal dunia, jatuh sakit, berhenti atau bersara awal kerana Covid-19.

“Sehubungan itu, kami mahu jabatan kesihatan untuk menyediakan faedah yang lebih berbaloi untuk kami teruskan perjuangan membantu negara menentang Covid-19,” kata Presiden Kesatuan Petugas Perubatan, Robert Mendoza.

Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Filipina, Dr. Rabindra Abeyasinghe pada Selasa lalu menyatakan, varian Delta kini sudah menjadi dominan di negara ini.

Dalam pada itu, Duterte menegaskan pengurusan pandemik di negara ini berjalan lancar dan mengarahkan kementerian kesihatan serta kewangan masa selama 10 hari sehingga 21 Ogos lalu untuk memberikan insentif kepadapetugas kesihatan selepas golongan jururawat mengugut untuk berhenti beramai-ramai.

Namun, sehingga kini, lebih 100,000 petugas kesihatan belum menerima sebarang insentif yang dijanjikan kerajaan.

Sementara itu, Duque memaklumkan, kerajaan memerlukan masa lebih lama untuk menyediakan faedah kepada semua petugas kesihatan. – REUTERS

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN