PETALING JAYA: Keberkesanan pelaksanaan Financial Fair Play (FFP) yang bakal diperketatkan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan dilihat tidak hanya bergantung kepada ketegasan peraturan dirangka Liga Bolasepak Malaysia (MFL), sebaliknya terletak sepenuhnya di tangan kelab yang bertanding.
Dalam usaha MFL membentuk ekosistem liga lebih mampan dan profesional, persoalan utama kini tertumpu kepada tahap integriti, disiplin kewangan serta kesungguhan kelab untuk benar-benar mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, masalah tunggakan gaji, pengurusan kewangan tidak stabil dan isu tadbir urus yang menghantui bola sepak tempatan sejak sekian lama membuktikan pelaksanaan FFP sahaja belum tentu menjadi penyelesaian mutlak.
Menurut beliau, tanpa sikap amanah dan kejujuran dalam pengurusan kelab, sebarang sistem atau undang-undang yang diwujudkan masih berisiko dimanipulasi oleh pihak tertentu demi kepentingan sendiri.
“Sekiranya kita melaksanakan FFP sekalipun, kelab-kelab berkemungkinan masih gagal mematuhinya. Kelab perlu bersikap jujur, amanah, dan memastikan kelangsungan tata kelola yang baik.
“Undang-undang semata-mata tidak memadai jika masih ada pihak yang mencari kelemahan sistem untuk kepentingan peribadi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas Zulakbal, setiap pasukan perlu mula berbelanja mengikut kemampuan sebenar dan tidak terlalu ghairah mengejar kejayaan jangka pendek sehingga mengorbankan kestabilan kewangan kelab.
“Kita boleh lihat beberapa pasukan seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC sudah menunjukkan contoh lebih tersusun dalam pengurusan kewangan, manakala Kuching City, Negeri Sembilan membuktikan kelab masih mampu menarik sokongan penyokong walaupun beroperasi dengan bajet terhad.
“Jadi tiada alasan untuk kelab-kelab bermasalah enggan melakukan perubahan dan menyalahkan pihak lain, sedangkan mereka sendiri yang gagal dan tidak mahu berubah,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan MFL supaya tidak membuat keputusan besar berkaitan hala tuju Liga M secara bersendirian, sebaliknya terus mengamalkan pendekatan lebih inklusif dengan melibatkan semua pihak berkepentingan, sambil menyifatkan sesi perbincangan meja bulat sebelum ini sebagai satu langkah positif ke arah memperkukuh ekosistem bola sepak tempatan.
“Badan pengelola perlu terus membuka ruang perbincangan lebih luas bersama semua rakan kongsi supaya pelaksanaan FFP benar-benar memberi manfaat kepada keseluruhan ekosistem bola sepak negara, bukannya sekadar indah di atas kertas,” tegasnya.-UTUSAN










