fbpx

23 September 2021, 7:50 am

  TERKINI

Penjara Israel ‘neraka’ Palestin

MOHAMMAD al-Ardah ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Nazareth. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Enam tahanan Palestin yang berjaya melarikan diri dari Penjara Gilbao pada 6 September lalu benar-benar memberi tamparan hebat kepada rejim Zionis.

Al-Jazeera melaporkan, keenam-enam mereka menggali lubang pada sinki di dalam penjara selama berbulan-bulan.

Sejak itu, polis, tentera dan ejen Shin Bet bergabung selain ‘bersenjatakan’ anjing pengesan bagi memburu tahanan Palestin berkenaan.

Namun pada Sabtu lalu (11 September), polis memberitahu kejayaan menahan empat daripada mereka berhampiran Nazareth dan Umm al-Ghanam, manakala dua lagi masih gagal dikesan.

Sepanjang minggu lalu, penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur bersorak meraikan kejayaan tahanan itu.

Menurut kumpulan hak asasi tahanan, Addameer, ketika ini terdapat 4,650 tahanan Palestin di penjara Israel.

Penduduk Palestin menganggap mereka sebagai tahanan politik sebagai usaha menutup suara Palestin menentang penjajahan rejim Zionis.

Sejak awal 2021, pasukan tentera Israel menahan beribu-ribu penduduk Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak.

Pada Mei lalu menyaksikan jumlah tertinggi, dengan 3,100 orang Palestin ditahan Israel.

NASIB TAHANAN KANAK-KANAK
Sejak 2000, tentera Israel memenjarakan kira-kira 12,000 kanak-kanak Palestin, menurut Addameer.

Kebanyakan mereka dihukum penjara atas kesalahan membaling batu ke arah tentera rejim, jenayah yang dihukum di bawah undang-undang tentera dengan hukuman sehingga 20 tahun penjara.

Israel merupakan satu-satunya pihak berkuasa yang mengheret kanak-kanak untuk dibicarakan di mahkamah tentera.

Ketika ini, seramai 200 kanak-kanak Palestin masih ditahan di penjara Israel, kebanyakannya disumbat dalam penjara sebelum dibicarakan atau belum disabitkan kesalahan.

Pada tahun lalu, Save the Children mengumpul data mengenai nasib 470 kanak-kanak Palestin di Tebing Barat yang ditahan tentera Israel selama 10 tahun.

Hasil data mendapati, kebanyakan mereka mengalami penderaan fizikal, tidak mendapat rawatan kesihatan mencukupi selain ancaman terhadap ahli keluarga dan dinafikan untuk khidmat peguam.

TAKDIR EMPAT TAHANAN?
Empat tahanan Palestin dari Penjara Gilbao yang berjaya ditahan semula baru-baru ini dijangka berdepan lanjutan tempoh hukuman penjara dan tindakan hukuman lebih keras.

Keempat-empat tahanan itu dihadapkan secara berasingan pada Sabtu lalu di Mahkamah Majistret Israel di Nazareth.

Mereka adalah Mahmoud Abdullah al-Ardah, 46, dan Yaqoub Mahmoud Qadri, 49, yang ditahan di pinggir selatan Nazareth pada Jumaat lalu manakala sehari selepas­nya, dua lagi iaitu Zakaria Zubeidi, 46, serta Mohammad al-Ardah, 39, ditahan di Shibli-Umm al-Ghanam.

Dua lagi masih belum diketahui iaitu Ayman Nayef Kamanji, 35, dan Munadel Infaat, 26.

Ketika dihadapkan ke mahkamah, Sabtu lalu, menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan, Pihak Berkuasa Palestin (PA), tuduhan awal dikemukakan terhadap keempat-empat mereka iaitu melarikan diri, menolong dan bersubahat dalam meloloskan diri selain konspirasi untuk melakukan serangan.

Peguam, Khaled Mahajneh berkata, pihak berkuasa enggan memberikan maklumat mengenai tuduhan ‘berkomplot untuk me­lakukan serangan’.

“Saya bertanyakan kepada pegawai soal siasat di mahkamah me­ngenai dakwaan berkenaan. Mereka kata itu fail rahsia. Kami tidak tahu dari mana datangnya dakwaan berkenaan atau kaitannya dengan tahanan tersebut,” katanya kepada al-Jazeera.

Menurutnya, prosiding mah­kamah dijangka berlangsung se­kurang-kurangnya setahun.

Katanya, walaupun dakwaan secara rasmi belum dikemukakan, tahanan berkenaan boleh dihukum tambahan penjara empat ke lima tahun lagi.

Sebelum ini keempat-empat mereka dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan sera­ngan terhadap tentera Israel dan penduduk awam.

Lima daripada mereka didakwa mempunyai hubungan dengan pergerakan Fatah yang menguasai PA.

Di bawah undang-undang antarabangsa, mereka yang melarikan diri dari penjara perlu dikenakan hukuman disiplin, bermaksud tiada tambahan tempoh penjara.

Keempat-empat tahanan itu kini ditahan di Kemudahan Tahanan Soal Siasat Al-Jalameh di Haifa dan menurut peguam, mereka disoal siasat perkhidmatan risikan Israel dan unit polis Lahav 443.

Mereka dinafikan hak untuk bertemu peguam dan pihak berkuasa akan menggunakan ‘taktik jahat’ termasuk soal siasat selama 20 jam tanpa henti, kurang tidur, diberikan makanan yang tidak berkualiti dan penderaan fizikal.

Salah seorang yang ditahan, Zakaria, dibawa ke mahkamah dengan beberapa kesan lebam di muka dan menurut media tempatan, tentera Israel memukulnya ketika ditangkap.

Seorang lagi peguam, Sahar Francis menjangkakan semua tahanan itu tidak akan mendapat akses kepada peguam dan larangan lawatan ahli keluarga.

ROBOT KAWALAN JAUH
Terdahulu, firma pertahanan milik Israel melancarkan robot bersenjata kawalan jauh yang dikatakan dapat meronda zon pertempuran dan melepaskan tembakan.

AP melaporkan, kenderaan tanpa pemandu itu merupakan tambahan kepada teknologi dron dalam medan perang moden.

Bagaimanapun pengkritik melihat teknologi terbaharu rejim Zionis itu sebagai langkah berbahaya.

Robot pacuan empat roda itu, REX MKII, dibangunkan oleh Israel Aerospace Industries.

POPULAR

KOSMO! TERKINI