VENEZUELA: Sebuah stesen janakuasa elektrik di Aragua meletup sehingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik serius.
Menteri Tenaga Venezuela, Nestor Reverol berkata, pihaknya masih menunggu hasil laporan punca kerosakan terhadap sistem elektrik tersebut.
Beliau turut memuji usaha pantas anggota bomba yang memadam kebakaran dengan cepat dan efisien.
Sebelum kejadian, beberapa pengguna media sosial memaklumkan berlaku masalah terhadap sistem elektrik pada waktu petang.
Menjelang malam, bekalan elektrik di beberapa bandar seperti Maturin, San Juan de Los Morros, Punto Fijo dan Margarita turut terpadam seperti dilaporkan El Tiempo.
Pemerintah negara menuding jari dengan menyalahkan punca letupan akibat serangan pengganas yang menyerang sistem elektrik negara di Amerika Selatan itu.
Mac lalu, pemerintah turut menuduh letupan yang berlaku di kilang minyak di El Tejero, Monagas sebagai serangan pengganas.
Namun, letupan didakwa berpunca akibat kelemahan pengurusan saluran paip minyak dan gas tersebut. – AGENSI










