LOS ANGELES: Bekas tentera Amerika Syarikat (AS) yang pernah ditugaskan dalam pencerobohan ke atas Iraq pada 2003, mahu bekas Presiden George W. Bush meminta maaf kepada semua pihak, khususnya penduduk di negara Teluk itu.
Perkara itu ditegaskan Mike Prysner yang berteriak menuntut Bush berbuat demikian ketika pemimpin tersebut berucap dalam satu forum di sebuah auditorium di Long Beach dekat sini, kelmarin.
Daily Sabah melaporkan, video mengenai tindakan Prysner itu tular dalam media sosial dan turut dikongsikannya menerusi laman Twitter miliknya.
Beliau secara terbuka menjerit mengatakan Bush seorang pemimpin yang banyak berbohong ketika mengarahkan tentera AS menceroboh Iraq termasuk dirinya yang dihantar bertugas ke negara tersebut.
“Mr. Bush, bilakah kamu akan meminta maaf atas sejuta penduduk Iraq yang terkorban kerana kamu berbohong?
“Kamu berbohong mengenai senjata pemusnah besar-besaran (WMD), kamu berbohong mengenai kaitan Iraq dengan peristiwa serangan 9/11,” kata Prysner merujuk kepada serangan yang memusnahkan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September 2001.
Tak berhenti di situ, Prysner turut berteriak: “Kamu berbohong tentang Iraq kononnya negara itu sebagai ancaman”.
Bush yang terganggu dengan apa yang dikatakan Prysner bertindak menyuruh bekas tentera itu duduk dan menjaga kelakuannya.
Namun tindakan itu terus mengundang kemarahan Prysner yang mengatakan Bush telah menghantarnya ke Iraq pada 2003.
“Rakan-rakan saya sudah mati. Kamu membunuh ramai orang. Kamu berbohong,” katanya sebelum ditarik keluar oleh kakitangan di auditorium berkenaan.
Sambil ditarik keluar, Prysner berteriak: “Rakan-rakan saya mati kerana kamu berbohong. Kamu perlu meminta maaf. Minta maaf”.

BUSH PENJENAYAH PERANG
Terdahulu dalam laman Twitter miliknya, Prysner melabelkan Bush sebagai ‘penjenayah perang’ yang perlu dihukum.
Beliau turut mengulangi berjuta-juta penduduk Iraq yang tidak bersalah terbunuh kerana pembohongan Bush.
“Hampir 20 tahun lalu, dia (Bush) hantar saya ke Iraq, kini baru saya dapat peluang berdepan dengannya.
“Saya cuba membaca senarai nama, kebanyakannya nama penduduk Iraq yang terkorban, termasuk nama rakan-rakan saya yang menjadi aktivis anti perang dan meninggal dunia akibat kecederaan selepas perang itu,” katanya.
Terdahulu di luar auditorium, beberapa aktivis berhimpun sambil memegang sepanduk menuntut Bush ditahan dan menyifatkan pemimpin itu sebagai ‘penjenayah perang’.
Mereka turut menuntut tentera AS dibawa keluar dari Asia Barat dengan segera.

KENYATAAN PENUH PRYSNER
Sementara itu, laman web Liberation menyiarkan kenyataan penuh Prysner yang turut menggerakkan pertubuhan ANSWER Coalition.
Dalam kenyataan itu, Prysner berkata, kira-kira 20 tahun lalu, Julai 2002, beliau duduk di belakang Bush ketika pemimpin itu berucap kepada 10th Mountain Division yang dianggotainya.
“Tak sampai setahun selepas itu, saya diarah oleh Bush untuk bertugas ke Iraq, salah satu tindakan pencerobohan oleh AS.
“Ketika dia membawa AS kepada perang di Iraq, dia tahu bahawa Iraq tidak memiliki senjata pemusnah besar-besaran tetapi dia memberitahu negara sebaliknya. Tetapi Bush membuat persetujuan, dia menjual kebohongan dan berniat jahat untuk meyakinkan negara bahawa kita (AS) mesti berperang,” katanya.
Beliau merujuk laporan yang menjelaskan Iraq tidak menghasilkan WMD dan Bush sedikitpun tidak meminta maaf atau mengakui kesilapan yang dilakukannya selama ini.
Jelasnya, walaupun penduduk Iraq dan rakyat AS yang terkesan dengan perang itu masih menderita dengan apa yang dilakukan Bush, pemimpin itu masih menikmati hidup seperti biasa.
“Ketika saya melihat Bush berucap, saya tiada pilihan selain mencari jalan bercakap apa yang betul oleh apa yang dilalui mereka yang ‘binasa’ atas arahannya.
“Saya membawa bersama senarai orang awam Iraq yang terkorban oleh tentera AS dan tentera AS yang terbunuh di sana. Kebanyakannya kawan saya.
“Saya menuntut dia mengakui kesilapan dan meminta maaf kepada semua nyawa yang dia hancurkan, terutama penduduk Iraq. Mereka masih belum mengenal erti keamanan sejak Mac 2003,” tegasnya.










