JAKARTA: Seorang ibu dan anaknya ditemukan meninggal dunia dalam keadaan mulut berbuih di kediamannya di Sukmajaya, Depok.
CNN Indonesia melaporkan, mayat kedua-dua mereka ditemukan salah seorang ahli keluarga pada Sabtu lalu.
Ketua Unit Jenayah Polis Sukmajaya, Harun berkata, pihaknya melakukan siasatan lanjut dan menemukan botol ubat nyamuk dekat mayat mangsa.
“Kami menemukan botol-botol ubat nyamuk, ada dua,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Harun memberitahu, kedua-duanya disyaki melakukan aksi bunuh diri dengan cara meminum cecair ubat nyamuk itu.
Bagaimanapun jelasnya, untuk kepastian kematian mangsa masih menunggu hasil autopsi.
Katanya, berdasarkan keterangan saksi, diketahui mangsa memiliki masalah berkaitan perniagaan.










