Lebih 100,000 rakyat Thailand hilang pekerjaan - Utusan Malaysia

Lebih 100,000 rakyat Thailand hilang pekerjaan

PELAKSANAAN perintah berkurung dan langkah pencegahan seperti penutupan premis perniagaan turut menyebabkan pekerja tempatan hilang pekerjaan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HATYAI: Lebih 100,000 orang di lima wilayah selatan Thailand dilaporkan kehilangan pekerjaan termasuk 70,000 warga tempatan yang pulang dari Malaysia berikutan penutupan sempadan dua negara akibat Covid-19.

Memetik laporan Bernama, Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) Somkiat Polprayoon, berkata jumlah itu termasuk mereka yang terbabit dalam perniagaan dan industri pelancongan di selatan Thailand.

Ini termasuk pemandu van pelancong dan tuk-tuk, tukang urut serta pekerja di restoran selain kedai makan.

“Ekonomi Thailand yang bergantung kepada pelancong asing terjejas teruk sejak negara itu dilanda pandemik Covid-19 khususnya apabila sempadan negara ditutup untuk mengekang penularan virus,” katanya.

Selain itu, pelaksanaan perintah berkurung dan langkah pencegahan seperti penutupan premis dan perniagaan seperti tempat hiburan, pawagam, taman awam, zoo, muzium serta klinik kecantikan turut menyebabkan pekerja tempatan hilang kerja.

Thailand kini berdepan gelombang ketiga Covid-19 sejak April lalu, menyaksikan kes di negara ini mencecah 1.35 juta kes dan 13,920 kematian. 

Usaha sedang dibuat untuk membantu mereka mendapatkan peluang pekerjaan termasuk di Malaysia.

Somkiat berkata, SBPAC akan bekerjasama dengan Kementerian Buruh, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar Thailand untuk mengenal pasti mereka yang sesuai dan mempunyai kemahiran dalam bidang pertanian untuk bekerja di Malaysia.

“Berdasarkan cadangan awal, 400 pekerja Thailand akan dibawa masuk ke Malaysia secara berperingkat,” katanya.

Sementara itu, Konsul Jeneral Thailand ke Kota Bharu, Mongkol Sinsomboon berkata, pihak konsulat dan SBPAC sedang berusaha membantu pekerja Thailand masuk semula ke Malaysia secara sah untuk bekerja di ladang kelapa sawit.

“Kumpulan pekerja yang bakal masuk ke Malaysia berusia 21 hingga 45 tahun dan sudah menerima suntikan vaksin Covid-19. Kami sedang menunggu kebenaran daripada pihak Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pelancongan dan Perdagangan Halal Thai-ASEAN, Rachen Attamart, berkata lebih 90 peratus hotel di Songkhla terpaksa tutup sementara berikutan ketiadaan pelancong asing.

Beliau yang juga ketua pegawai eksekutif Jannaty Hotel Hatyai di Songkhla, berkata sejak Jun tahun ini, terdapat beberapa hotel diubah suai menjadi pusat kuarantin untuk rakyat Thailand yang pulang dari luar negara.

Selain itu, beliau berkata terdapat hotel yang dijadikan tempat penginapan pekerja kilang di bawah inisiatif ‘gelembung dan tutup’ dengan pekerja kilang yang negatif virus itu perlu menginap di hotel sehingga keadaan Covid-19 reda.

“Selagi pintu sempadan tidak dibuka dan tiada pelancong asing, kehidupan penduduk tempatan akan terjejas khususnya mereka yang terbabit dalam industri pelancongan,” katanya

 

* PERINTAH BERKURUNG DIKEKALKAN

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 Thailand (CCSA) mengumumkan perintah berkurung yang dikuatkuasakan dari pukul 9 malam hingga 4 pagi di beberapa wilayah akan dikekalkan sehingga akhir bulan ini.

Lapor Bangkok Post, jurucakap CCSA, Taweesilp Visanuyothin berkata, satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha bersetuju untuk mengekalkan sekatan sedia ada termasuk perintah berkurung malam dikenakan di beberapa kawasan zon `merah gelap’. 

Katanya, CCSA juga memutuskan untuk tidak melakukan perubahan status di 29 kawasan zon merah gelap, 37 (zon merah) dan 11 (zon oren) sehingga akhir September ini.

“Keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian keadaan semasa pandemik Covid-19 negara ini.

“Malah, langkah-langkah pencegahan Covid-19 dan kit ujian antigen akan dilaksanakan secepat mungkin dalam usaha memastikan kes jangkitan dan kematian rendah pada Oktober depan,” katanya.

Tambah beliau, CCSA juga sudah berbincang mengenai kempen vaksinasi pada 27 September hingga 31 Oktober depan, yang bakal menyaksikan 24 juta dos vaksin Covid-19 diberikan kepada lima kumpulan sasaran.

 

* KES BAHARU COVID-19 

Thailand merekodkan sebanyak 15,191 kes baharu dan 253 kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam.

Menurut Kementerian Kesihatan, daripada jumlah kes jangkitan Covid-19, sebanyak 726 kes membabitkan tahanan di penjara.

Seramai 18,721 pesakit Covid-19 dibenarkan keluar dari hospital selepas disahkan sembuh sepenuhnya.

Setakat ini, Thailand melaporkan sebanyak 1,368,144 kes jangkitan dan 14,173 kematian akibat Covid-19 sejak pandemik bermula tahun lalu. – BERNAMA/AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN