Mempunyai matlamat kesihatan seperti mengamalkan diet lebih sihat atau menurunkan berat badan adalah satu perjalanan jangka panjang.
Kadangkala perjalanan itu boleh terganggu atau tersasar di pertengahan sama ada akibat diri sendiri atau pengaruh orang di sekeliling.
Justeru, pensyarah kanan pemakanan dan dietetik di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti IMU, Dr. Lee Ching Li mengingatkan masyarakat untuk mencari jalan kembali ke landasan yang betul.
Katanya, ramai yang mudah berputus asa apabila gagal menahan diri daripada menikmati makanan kegemaran atau tidak nampak sebarang hasil segera.
“Yang lebih utama ialah kekal berada di landasan berbanding terlalu keras mengejar matlamat atau fokus pada berat badan yang sememangnya boleh turun naik
“Belajarlah berlembut dengan diri sendiri dan bersabar kerana diet sihat perlu menyeronokkan supaya ia dapat diamalkan secara berterusan,” katanya baru-baru ini.
Ching Li berkata, menukar tabiat pemakanan bukanlah sesuatu yang mudah, kerana ia bukan sekadar soal rasa tetapi mempunyai kaitan dengan unsur sosial dan emosi.
Sehubungan itu, dia turut menasihatkan agar perubahan pemakanan dilakukan secara berperingkat bermula dengan langkah kecil yang memberi impak.
“Makanan sihat sering dianggap tawar atau membosankan, hakikat ini mungkin benar jika lidah seseorang terbiasa dengan hidangan sarat perasa dan tinggi lemak.
“Tetapi keadaan ini sekejap sahaja, lama-kelamaan, deria rasa dan tubuh akan dapat menyesuaikan diri.
“Buktinya, kebanyakan pesakit saya tidak lagi menggemari makanan manis atau terproses berlebihan selepas beberapa bulan mengamalkan diet baharu,” katanya.
Buah sebagai pencuci mulut
Jika seseorang tertekan dan mengidam sesuatu yang manis, ambil sebiji buah segar berbanding pencuci mulut yang tinggi karbohidrat, gula dan lemak.
Apabila perlu makan di luar, kurangkan mi atau nasi dan lebihkan sayur-sayuran.
Di kedai mamak, pilihlah makanan lebih sihat seperti roti nan dan ayam tanduri berbanding ayam goreng dan nasi yang dibanjiri kuah kari tinggi lemak serta garam.










