PRETORIA: “Kita tidak boleh meneruskan hubungan dengan ‘Apartheid Israel’ yang terus mencabuli hak asasi penduduk Palestin”.
Demikian ditegaskan oleh Inkosi Zwelivelile Mandla, cucu lelaki kepada bekas pemimpin paling berpengaruh di Afrika Selatan, Nelson Mandela.
Beliau mendesak kerajaan membatalkan status pemerhati kepada ‘Aparteid Israel’ di Kesatuan Afrika (AU) kerana hubungan dengan ‘negara haram’ yang berterusan mencabuli hak Palestin sama sekali tidak boleh dinormalisasikan.
Desakan itu sebagai menyatakan sokongan terhadap Menteri Hubungan Antarabangsa, Naledi Pandor berhubung isu tersebut.
Jelas Mandla, tindakan rejim zionis termasuk memenjarakan, menyeksa orang awam tidak bersalah serta melanggar undang-undang antarabangsa dengan menjadikan bumi Palestin seperti di bawah ‘undang-undang mereka sendiri’.

“Kami menyokong gesaan itu kerana proses pemberian status pemerhati Israel adalah salah kerana Ketua Pesuruhjaya AU, Moussa Faki bertindak sebelah pihak dan tidak berunding dengan negara anggota atau Anggota Eksekutif AU,” jelasnya.
Menurut Mandla, pihaknya tidak dapat membayangkan bagaimana Afrika sendiri yang pernah menjadi mangsa penjajahan, penaklukan dan penindasan selama berabad-abad dapat membenarkan tindakan kejam berterusan Israel di atas tanah Palestin sehingga berkembang menjadi penempatan haram.
“Kami menyeru warga Afrika di seluruh dunia dan diaspora keluar memprotes pemberian status pemerhati ‘Aparteid Israel’ di AU.
“Kita mesti melepaskan diri daripada keputusan sepihak untuk memberikan status pemerhati rejim tersebut.
“Kami minta pihak menteri memutuskan semua hubungan diplomatik dan mengarahkan duta Israel pulang, kerana kami mahu gerakan anti-aparteid global menyokong perjuangan adil ini,” tegasnya.
Mandla juga mahu warga Afrika Selatan yang berkhidmat dalam Pasukan Pertahanan Israel (IDF) diadili kerana jenayah perang dan melanggar Akta Bantuan Ketenteraan Asing Afrika Selatan
kerana jelas melanggar hak asasi manusia terhadap penduduk Palestin di pusat pemeriksaan setiap hari.
‘IRON DOME’ TERUS MENYALA
Sementara itu, Dewan Perwakilan AS meluluskan peruntukan AS$1 bilion (RM4 bilion) sebagai dana tambahan kepada sistem pertahanan Iron Dome Israel selepas kontroversi selama beberapa hari.
Rang Undang-Undang (RUU) tersebut diluluskan dengan undi majoriti 420 ahli perwakilan dan bertambah sembilan undian pada Khamis, sekali gus menyaksikan peningkatan sokongan signifikan AS terhadap Israel.
RUU itu akan dibawa ke Dewan Senat yang dijangka diluluskan dengan mudah sebelum ditandatangani Presiden AS, Joe Biden yang pernah memberikan isyarat sokongan terhadap bantuan tambahan tersebut.
Langkah itu dilaksanakan ketika perdebatan hangat mengenai sokongan AS terhadap Israel serta pertambahan bilangan suara dalam Kongres yang menyeru Biden memberikan bantuan kepada Israel.
Awal minggu ini, penambahan dana Iron Dome dari RUU berbeza menimbulkan pertikaian di Washington.
Peruntukan bilion dolar itu pertama kali dibentangkan Selasa lalu, menerusi pembentangan RUU Dewan Perwakilan yang dicadangkan bertujuan menyediakan dana kecemasan jangka pendek.
Namun, pada waktu petang hari sama, RUU itu dikeluarkan tanpa sebarang penjelasan.
Media AS melaporkan penggubal undang-undang progresif bertanggungjawab mengecualikan dana untuk Israel daripada RUU tersebut.
Presiden Yayasan Perdamaian Asia Barat (FMEP), Lara Friedman berkata, adalah ‘aneh’ memasukkan bantuan AS$1 bilion kepada Israel menerusi RUU umum yang dirancang untuk membolehkan pemerintah AS terus berkuasa.
Jelasnya, pemimpin Demokrat ingin ‘mengelakkan’ perbincangan dan perdebatan yang disertakan proses perundangan khas dengan memasukkan bantuan untuk Israel dalam RUU pendanaan jangka pendek.
Penyokong dana tambahan itu memaklumkan bantuan itu bertujuan ‘mengisi kembali’ bateri Iron Dome selepas pertempuran di Gaza, baru-baru ini.
Israel menerima bantuan ketenteraan berjumlah AS$3.8 bilion (RM15.2 bilion) setiap tahun menerusi memorandum persefahaman (MoU) 10 tahun yang ditandatangani oleh Barack Obama pada 2016.
Daripada jumlah itu, AS$500 juta (RM2 bilion) digunakan untuk sistem pertahanan peluru berpandu setiap tahun.
Tahun lalu, Kongres AS memberikan dana AS$73 juta (RM295 juta) untuk Iron Dome secara khusus daripada beberapa program pertahanan peluru berpandu.