KABUL: Kerajaan sementara Taliban yang baharu dibentuk, akan berusaha menegakkan peraturan Islam dan undang-undang Syariah di Afghanistan.
Pemimpin tertinggi Taliban, Hibatullah Akhundzada yang tidak pernah tampil di khalayak umum, menegaskan perkara tersebut dalam kenyataan ketika Taliban mengumumkan senarai nama dalam Kabinet kerajaan sementara, semalam.
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata, Mullah Mohammad Hassan Akhund dilantik sebagai pemangku Perdana Menteri bagi Afghanistan.
Akhund pernah memegang jawatan sebagai menteri kanan ketika pemerintahan Taliban pada 1990-an.
Sebelum ini, Taliban menjanjikan sebuah kerajaan inklusif yang akan mewakili semua etnik Afghanistan.
Namun, hampir semua jawatan utama dilantik dalam kalangan pemimpin tertinggi kumpulan Taliban dan rangkaian Haqqani yang digeruni.
Setakat ini, pelantikan barisan Kabinet kerajaan sementara itu tidak membabitkan wanita.
“Kami akan berusaha membawa individu dari bahagian lain di negara ini,” kata Zabihullah dalam sidang akhbar.
Pengasas bersama Taliban, Abdul Ghani Baradar dilantik sebagai timbalan kepada Mohammad Hassan.
Mullah Mohammad Yaqoob, anak lelaki kepada pengasas Taliban merangkap bekas pemimpin tertinggi Mullah Omar, dilantik sebagai Menteri Pertahanan.
Ketua rangkaian Haqqani, Sirajuddin Haqqani dilantik sebagai Menteri Dalam Menteri.
Dilaporkan, seorang pemimpin veteran yang diumumkan berada dalam senarai hitam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).- AFP









