NEW YORK: Sekaya mana pun golongan bilionair di dunia, dua perkara iaitu mati dan tua tetap menjadi mimpi ngeri buat mereka.
Jika boleh, mereka mahu melawan arus kehidupan dengan hidup selama beratus tahun.
Perkara itu cuba dibuktikan pengasas Amazon dan ‘pentaksub’ penerokaan angkasa lepas, Jeff Bezos apabila menyalur dana kepada Altos Labs yang cuba menyelesaikan penyakit manusia paling ditakuti iaitu kematian.
MIT Tech Review melaporkan, Altos Labs juga menerima dana daripada bilionair Israel-Russia, Yuri Milner dan isterinya, Julia.
Milner sangat terkenal dalam pelaburan terhadap syarikat besar seperti Twitter, Spotify, Facebook dan Airbnb.
Penyelidikan Altos terhadap ‘kehidupan yang kekal abadi’ bermula awal tahun lalu di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) di lokasi syarikat itu ditubuhkan.
Syarikat itu melantik beberapa saintis dari universiti terkemuka bagi menjalankan penyelidikan tersebut dengan tawaran gaji sangat lumayan.
Semuanya tidak mustahil apabila melibatkan nama besar seperti Bezos dengan nilai kekayaan melebihi AS$200 bilion (RM900 bilion).
New York Post melaporkan, Bezos turut melabur dalam sebuah syarikat Unity Biotechnology yang berusaha ‘menghentikan penyakit’ penuaan. – AGENSI










