MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte tidak akan bekerjasama dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dalam siasatan terhadap kempen memerangi dadah.
Perkara itu ditegaskan beliau melalui peguamnya, semalam.
Menurut Duterte, mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa di negara ini.
Kelmarin, hakim-hakim ICC memberi kuasa siasatan penuh terhadap kempen tersebut dan menyifatkannya menyerupai serangan tidak sah dan sistematik terhadap orang awam.
Malah ICC memetik laporan pertubuhan hak asasi manusia yang menganggarkan berpuluh-puluh ribu orang awam dibunuh dalam kempen diterajui Duterte itu.
“Presiden (Duterte) tidak akan bekerjasama. Pertamanya, Filipina sudah menarik diri daripada Statut Rom. Oleh itu, ICC tidak lagi mempunyai bidang kuasa ke atas negara ini.
“Kerajaan tidak akan membiarkan anggota ICC mengumpul maklumat dan bukti di sini, di Filipina, mereka akan dilarang masuk,” jelas Ketua Majlis Penasihat Undang-Undang, Salvador Panelo kepada radio tempatan DZBB.
Duterte berulang kali ‘menyerang’ ICC dan menyifatkannya sebagai ‘mengarut’ dan berikrar tidak akan bekerjasama dengan siasatan mahkamah dunia itu.
Tindakan membanteras dadah adalah inisiatif dasar khas Duterte dan beliau mempertahankannya termasuk daripada pengkritik antarabangsa.
Beliau secara terbuka mengarahkan polis membunuh suspek dadah jika nyawa mereka dalam bahaya.
Sekurang-kurangnya 6,181 orang terbunuh dalam lebih 200,000 operasi anti dadah yang digerakkan polis sejak Julai 2016. – AFP










