LONDON: Putera Harry dan isteri, Meghan Markle tersenarai dalam 100 individu berpengaruh sebaris dengan Naomi Osaka, Dolly Parton, Britney Spears dan Alexei Navalny.
Pasangan diraja itu menunjukkan sikap merendah diri apabila dipilih menjadi penghias muka depan majalah Time bagi edisi September hingga Oktober berkenaan senarai individu yang tercalon dari seluruh dunia, lapor Daily Mail.
“Pasangan Duke dan Duchess of Sussex itu turut menyampaikan penghargaan kepada Dr. Ngozi Okonjo-Iweala yang turut tercalon dalam senarai tahunan individu berpengaruh dalam majalah tersebut,” kata pasangan itu menerusi kenyataan rasmi semalam.
Harry dilihat memakai persalinan berwarna hitam dan diapit Meghan yang mengenakan pakaian berwarna putih di kediaman mereka bernilai AS$14.65 juta (RM58.6 juta) di Montecito, California sebagai penghias muka depan majalah itu.
Seorang tukang masak yang rapat dengan pasangan itu, Andres berkata, Harry dan Meghan sentiasa mempunyai perasaan belas kasihan walaupun terhadap individu tidak dikenali.
“Pasangan itu ‘diberkati’ melalui kelahiran dan bakat, namun akhirnya ‘dibakar’ oleh kemasyhuran. Mereka lebih banyak berdiam diri supaya keadaan lebih selamat,” katanya.
Awal tahun lalu, Putera Diraja Britain dan isterinya itu menggemparkan dunia apabila mengumumkan untuk melepaskan jawatan kehormat tentera dan hak keistimewaan keluarga diraja.










