MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte akan membuat pertimbangan untuk mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 di negara ini.
Malah, katanya, kerajaan juga mungkin akan ‘memaksa’ penduduk yang enggan mendapatkan suntikan tersebut.
Duterte membangkitkan perkara itu dalam program Talk to The People selepas mendakwa kerajaan hampir merayu kepada rakyat untuk memanfaatkan vaksin Covid-19 apabila ia sedia ada.
“Anda tahu saya tidak mahu menyatakan teori ini namun di bawah kuasa polis di negara ini, semua orang boleh dipaksa untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Ia bukan disebabkan kami tidak percaya pada kepercayaan atau agama anda tetapi kerana anda berpotensi pembawa virus sekali gus dapat membahayakan masyarakat.
“Bertentangan dengan kepercayaan atau pendapat orang lain, saya berpandangan penduduk boleh dipaksa di bawah kuasa polis,” katanya.
Sebelum ini, Kongres Filipina pernah menggubal undang-undang yang mewajibkan kanak-kanak mengambil suntikan imunisasi antaranya untuk tuberkulosis, difteria, tetanus, demam campak, rubela, Hepatitis B dan influenza jenis B.
April lalu, satu rang undang-undang bagi mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 diusulkan di Dewan Perwakilan negara itu.
Sementara itu, Duterte berkata, kepercayaan peribadi atau agama seseorang individu boleh dianggap sebagai tidak relevan sekiranya mereka menolak untuk mendapatkan vaksin.
“Jika semua orang tidak mahu divaksin, situasi itu boleh menyebabkan penularan wabak secara tidak terkawal,” katanya. – AGENSI