Disiplin kumpulan belum divaksin akhiri Covid-19 - Utusan Malaysia

Disiplin kumpulan belum divaksin akhiri Covid-19

POLIS mengawal keadaan di daerah hiburan Kabukicho di Tokyo bagi mengekang penularan Covid-19. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Walaupun terdapat pelbagai faktor di sebalik penurunan drastik kes Covid-19 di Tokyo, namun kajian menunjukkan kumpulan individu yang belum divaksin memainkan peranan ‘mengejutkan’ dalam mengakhiri gelombang kelima wabak tersebut.

Lapor The Japan Times, me­nurut seorang penyelidik kerajaan, sejak kemuncak gelombang jangkitan terbesar di ibu negara ini, ramai penduduk belum divaksin menjauhkan diri daripada mengunjungi tempat-tempat awam yang mudah dijang­kiti virus itu.

Penyelidik Institut Sains Perubatan Metropolitan Tokyo menganalisis data sistem penentu kedudukan global (GPS) telefon bimbit untuk mengesan pergerakan penduduk di tujuh kawasan hiburan utama Tok­yo.

Ia termasuk Kabukicho, pusat beli-belah Shibuya Centre Street dan Roppongi.

Pengarah Pusat Penyelidikan Sains Sosial dan Sains Perubatan di institut itu, Atsushi Nishida berkata, analisis menunjukkan jumlah individu keluar pada waktu malam di lokasi ber­kenaan amat rendah walaupun pada hari cuti umum.

Malah katanya, pergerakan orang ramai pada waktu siang juga menurun selama tiga ming­gu berturut-turut.

Kes jangkitan baharu menurun dengan ketara sejak beberapa minggu kebelakangan ini ketika majoriti penduduk termasuk golongan muda terus mengelak daripada keluar untuk makan secara berkumpulan.

Data menunjukkan kurang daripada satu juta orang menghabiskan masa di daerah hiburan tersebut dari pukul 6 petang hingga tengah malam, dalam minggu hingga 18 September lalu.

Ia menunjukkan penurunan 23.1 peratus berban­ding ming­gu terakhir sebelum perintah berkurung dilaksanakan di ibu negara itu pada 12 Julai lalu.

“Kerjasama penduduk Tokyo menjadi punca penurunan ke­tara pada jumlah jangkitan pada masa itu,” katanya dalam me­syuarat pemantauan kerajaan.

Jelasnya, jumlah warga belum divaksin yang menghabiskan masa pada waktu malam di kawasan hiburan paling sibuk di Tokyo itu menurun sejak cuti Festival Bon pada pertengahan Ogos, menyumbang kepada penurunan keseluruhan kes.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN