JAKARTA: Keluarga mangsa kebakaran melibatkan penghuni di Penjara Koreksional Tangerang tidak dapat menahan kesedihan apabila mengetahui berita mengenai ahli keluarga mereka rentung dalam kejadian itu.
Suara.com melaporkan, Angeline, 40, terlalu sebak apabila mengenangkan anak saudaranya, Petra Eka, 25, yang ditahan akibat kesalahan dadah dan menjalani hukuman sejak empat tahun lalu.
Menurut Angeline, Petra ditempatkan di Cipinang sebelum dipindahkan ke Penjara Tangerang.
“Dia hanya menjalani hukuman selama beberapa bulan di Cipinang sebelum dipindahkan ke Tangerang,” katanya ketika ditemui di Hospital Kramat Jati.
Dalam kejadian menyayat hati awal pagi kelmarin, seramai 44 banduan maut selepas sel yang menempatkan banduan dalam penjara terbakar.
Insiden turut menyebabkan lapan orang cedera parah, manakala baki 72 lain cedera ringan.
Pihak polis berusaha mendapatkan maklumat sokongan bagi menjalani proses mengenal pasti mayat mangsa yang dijalankan oleh Pasukan Forensik Indonesia.
Menurut Angeline, sekiranya kejadian kebakaran itu tidak berlaku, sepupunya itu akan dibebaskan Februari tahun depan.
Katanya, kali terakhir dia menghubungi mangsa 4 September lalu menerusi panggilan video disebabkan ahli keluarga tidak dibenarkan bersemuka ketika pandemik Covid-19.
“Malam sebelum kejadian, Petra ada memuat naik status dalam Instagram dan menulis dia terlalu rindu untuk pulang ke rumah.
“Saya tidak sangka itu adalah petanda dia akan pergi buat selama-lamanya dan pulang ke alam lain,” luahnya.










