BELANDA: “Saya sering melihat cincin ini yang terselamat semasa tragedi itu dan berharap ia dapat menceritakan kisah sebenar yang berlaku.”
Demikian kata-kata menyayat hati seorang ahli keluarga mangsa tragedi MH17, David Horder kepada pendakwa raya Belanda sambil memegang sebentuk cincin perkahwinan ke arah kamera dari kediamannya di Australia.
Lapor The Sydney Morning Herald, menurut David, cincin perkahwinan itu milik mendiang bapanya, Howard, 63, yang meninggal dunia dalam insiden pesawat MH17 yang ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine.
David memakai cincin itu hampir setiap hari sejak ia diserahkan bersama mayat kedua ibu bapa kepada dia dan adik-beradiknya, beberapa minggu selepas tragedi MH17 berlaku 17 Julai 2014.
“Cincin ini tidak dapat bertahan pada ketinggian 10,688 meter tanpa mengalami kerosakan kecil.
“Malah, masih sukar bagi saya melihatnya kerana ia merupakan petunjuk visual mengenai apa yang berlaku dan keadaan ayah pada ketika itu. Ini amat memilukan,” katanya.
Sebelum ini, pasukan penyiasat antarabangsa memutuskan pesawat MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu buatan Rusia oleh pemberontak pro-Moscow dari timur Ukraine.
Rusia bagaimanapun menafikan penglibatan terhadap tragedi yang mengorbankan 298 penumpang termasuk anak kapal.
Dalam pada itu, David juga memegang sebentuk cincin perkahwinan ibunya, Susan yang diperoleh daripada lokasi kejadian.
Cincin perkahwinan itu masih dalam keadaan baik dan sempurna.
David bersama dua adik lelakinya, Matthew dan Adam turut menceritakan kesedihan serta trauma dialami selepas menerima panggilan telefon mengenai nahas pesawat itu yang mengorbankan ibu bapa mereka.
Menurut David, ketika itu dia tinggal di London dan tidak dapat menaiki pesawat dengan sendiri sehingga terpaksa dibawa dengan kerusi roda disebabkan pengambilan ubat akibat berita mengejutkan diterimanya.
Sementara itu, Matthew pula menggambarkan ibu bapanya yang berasal dari Queensland sebagai rakyat Australia yang sangat rajin.
Dia juga membacakan sepucuk surat cinta yang ditulis oleh ibunya kepada Howard apabila pasangan itu mula berkenalan kira-kira 62 tahun lalu.
Ahli keluarga Horder dan waris mangsa lain yang muncul pada sesi perbicaraan itu menegaskan orang tersayang mereka dibunuh dengan kejam.
Menurut ahli keluarga mangsa, pembohongan Rusia memburukkan lagi kesedihan yang mereka alami. – AGENSI









