Berjayakah Pfizer hasil pil antiviral Covid-19? - Utusan Malaysia

Berjayakah Pfizer hasil pil antiviral Covid-19?

SEORANG penduduk menerima suntikan vaksin Pfizer di pusat vaksinasi Covid-19 di kejiranan Arleta, Los Angeles, California. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Syarikat farmaseutikal Pfizer dan Merck & Co mengumumkan ujian klinikal baharu mereka mengenai pil antiviral Covid-19.

Ia dibuat ketika ramai sedang berlumba membangunkan cara rawatan yang memudahkan bagi jangkitan wabak yang berpotensi membawa maut.  

Menurut Pfizer, fasa ujian klinikal peringkat pertengahan hingga ke akhir akan melibatkan seramai 1,140 individu dijangkiti Covid-19 yang tidak dirawat di hospital.

Jelas syarikat itu, kumpulan pesakit berkenaan tidak mempunyai risiko penyakit kritikal.

Kumpulan pesakit dalam fasa ujian klinikal itu akan diberikan pil Pfizer yang dikenali sebagai PF-07321332 dan dos rendah ritonavir.

Ritonavir merupakan gabungan ubat yang digunakan bagi merawat jangkitan HIV.    

Pil antiviral dihasilkan bagi menghalang aktiviti enzim utama yang diperlukan untuk koronavirus membiak.

Merck memaklumkan ujian klinikal baharu itu akan menilai ubat molnupiravir bagi mencegah Covid-19 dalam kalangan orang dewasa yang tinggal serumah bersama individu yang mempunyai gejala jangkitan wabak tersebut.

Dilaporkan, Merck dan rakan kongsinya, Ridgeback Biotherapeutics sudah menjalankan ujian klinikal peringkat akhir rawatan pada pesakit yang tidak dimasukkan ke hospital untuk menilai sama ada ia mengurangkan risiko kemasukan ke hospital atau kematian.

Pada Julai lalu, Pfizer memulakan ujian klinikal lain membabitkan ubat pil PF-07321332 dalam kalangan orang dewasa dijangkiti Covid-19 yang berisiko menjadi kritikal disebabkan masalah kesihatan seperti diabetes. 

Menurut syarikat itu, keputusan awal ujian klinikal itu dijangka akan diperoleh pada bulan ini.  

Pfizer, Merck bersama syarikat farmaseutikal Roche Holding AG berusaha menghasilkan pil antiviral pertama untuk merawat atau mungkin mencegah jangkitan Covid-19.

Menurut Pfizer pada Julai lalu, sekiranya ujian klinikal ubat pil itu berjaya, firma tersebut akan memfailkan kebenaran bagi penggunaan kecemasan pada suku keempat tahun ini.

 

DOS PENGGALAK

Sementara itu, Moderna memohon Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) untuk membenarkan vaksin Covid-19 keluaran syarikat itu digunakan sebagai dos penggalak.

FDA ketika ini sedang mempertimbangkan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech sebagai dos penggalak.

Namun, setakat ini, agensi itu hanya membenarkan individu dengan sistem ketahanan yang lemah mengambil suntikan dos penggalak sama ada daripada vaksin Moderna atau Pfizer.

Menurut agensi itu, kumpulan penasihatnya akan mengadakan pertemuan untuk membincangkan mengenai suntikan vaksin Pfizer pada 17 September ini.

Moderna memaklumkan sudah menyerahkan data awal bagi penggunaan dos penggalak 50 miligram (mg) vaksin Covid-19 keluarannya.

Vaksin Moderna asal mengandungi 100mg mRNA dalam setiap suntikan. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.