SHAH ALAM: Hasrat pelakon, Sahronizam Noor untuk menjalani pembedahan kedua hari ini terpaksa ditangguhkan selepas pemeriksaan mendapati sel kanser tulang rawan yang dihidapinya dikesan sudah mula merebak ke bahagian paru-paru.
Isterinya yang juga penyanyi dan pelakon, Safura Yaacob, 53, memaklumkan keputusan itu dibuat pihak hospital selepas hasil pemeriksaan Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) menunjukkan perkembangan yang membimbangkan itu.
“Sepatutnya hari ini (semalam) dia ditahan di wad untuk pembedahan kedua, namun apabila dilakukan CT Scan, doktor mendapati ada sedikit sel kanser sudah tersebar ke paru-paru.
“Segala peralatan yang diperlukan untuk pembedahan berjumlah RM700 sudah pun dibeli, namun doktor memaklumkan pembedahan tersebut berkemungkinan besar perlu ditangguhkan buat sementara waktu.
“Saya akan berbincang semula dengan pakar hari ini untuk mengetahui sama ada pembedahan boleh diteruskan atau ada rawatan lain yang lebih sesuai,” katanya.
Safura ditemui selepas konsert minggu keempat program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) di Auditorium MBSA, di sini, semalam.
Walaupun berdepan ujian berat, Safura meluahkan rasa syukur dan kagum dengan semangat kental suaminya yang tetap positif walaupun disahkan menghidap kanser tulang rawan tahap tiga.
“Kalau orang tengok, dia nampak sihat tetapi sebenarnya dia sedang berjuang melawan kanser tulang rawan tahap tiga. Doktor kata kanser ini sangat agresif.
“Sebelum ini, tulang belikatnya ada timbul dan doktor terpaksa memotong separuh bahagian yang dijangkiti kerana bimbang ia merebak ke bahagian atas,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Safura yang kelihatan sebak ketika bercerita mengenai pengorbanannya membahagikan masa antara kerjaya dan menjaga suami menyebabkan berat badannya menyusut drastik sejak Sahronizam jatuh sakit.
“Awal-awal abang (suami) masuk hospital, berat badan saya turun dari 62 kilogram (kg) sehingga tinggal 50kg. Namun, saya sentiasa meminta kekuatan daripada Allah.
“Ujian ini adalah cara Allah membersihkan diri kita. Selama ini Dia beri nikmat sihat, jadi apabila diuji dengan sakit, jangan sesekali bersangka buruk. Saya perlu kekal positif,” tuturnya.
Terdahulu, Sahronizam disahkan menghidap kanser tulang rawan tahap tiga selepas kerap mengadu sakit belakang.
Dia sebelum ini pernah menjalani pembedahan membuang tumor pada bahagian kanan belakang badan di Hospital Ampang, Kuala Lumpur pada 29 Oktober tahun lalu. -UTUSAN









