Awas! Robot Xavier pantau ‘tingkah laku’ - Utusan Malaysia

Awas! Robot Xavier pantau ‘tingkah laku’

ROBOT Xavier melakukan rondaan di Toa Payoh. – MEDIACORP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Penduduk negara ini kini perlu lebih berhati-hati kerana sebuah robot akan me­ronda di kawasan awam yang sesak bagi mengesan kesalahan seperti merokok, meletakkan basikal sembarangan dan menjaja secara haram.

Lapor Berita Mediacorp, robot bernama Xavier akan menjalankan rondaan di Toa Payoh sepanjang tempoh tiga minggu dengan sesi percubaan bermula kelmarin.

Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) berkata, Toa Payoh dipilih kerana terdapat ramai pejalan kaki dan tingkah lalu tidak diingini yang dikesan oleh pegawai awam di kawasan tersebut.

Jelasnya, robot itu akan mengesan tingkah laku tidak diingini dengan menghantar makluman kepada pusat arahan dan kawalan serta mempamerkan pesanan di papan pemukanya bagi mendidik orang awam mencegah tingkah laku yang dilarang.

Sebagai contoh, apabila Xavier mendapati seseorang me­rokok di kawasan larangan, ia akan menunjukkan pesanan di papan pemuka interaktifnya selain menyampaikan pesanan audio untuk menyuruh perokok berhenti.

Apabila robot itu terlihat individu berkumpul dalam kumpulan melebihi lima orang, ia akan menyuruh mereka mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat seperti memastikan jarak satu meter antara satu sama lain.

Xavier bergerak pada kelajuan lima kilometer sejam (km/j) sementara rakaman video daripada kameranya pula dihantar ke pusat kawalan dalam masa sama, sekali gus membolehkan pegawai awam memantau beberapa robot serentak.

Pegawai boleh memberikan tindak balas terhadap sebarang insiden di lapangan menerusi interkom dua hala atau menggunakan pesanan audio yang sudah direkod terlebih dahulu.

Xavier turut mempunyai pelbagai jenis sensor yang boleh membantunya bergerak di ruang awam sendiri sambil mengelak daripada halangan seperti pejalan kaki dan kende­raan lain di laluannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN