ABU DHABI: Pihak berkuasa berjaya merampas sebanyak 40 tan produk makanan tamat tarikh luput dari sebuah gudang yang tidak berlesen di Kawasan Perindustrian Ajman di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Lapor Khaleej Times, Jabatan Pembangunan Ekonomi Ajman (Ajman DED) bersama sepasukan anggota dari majlis perbandaran dan polis menyerbu gudang tersebut selepas mengesahkan kegiatan haram sedang dilakukan.
Pihak berkuasa mendapati pihak pengurusan gudang mengubah tarikh luput produk berkenaan dan mengedarkan semula ke pasaran.
Ketua Bahagian Kawalan di Jabatan Perancangan dan Perbandaran, Ahmed Obaid Al Suwaidi berkata, semua produk makanan yang dirampas didapati tidak sesuai untuk dimakan oleh manusia.
“Gudang itu mengandungi produk makanan yang tamat tarikh luput dan sumbernya tidak diketahui.
“Syarikat itu mengeluarkan tarikh luput lama dan menggantikannya dengan baharu untuk menipu pengguna.
“Kami sudah menghapuskan produk yang dirampas dan akan terus memantau di semua premis lain di UAE. Gudang itu kini ditutup dan tindakan undang-undang yang berkaitan telah diambil,” katanya.










