18 diberkas bawa masuk warga asing guna pas pekerja palsu - Utusan Malaysia

18 diberkas bawa masuk warga asing guna pas pekerja palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Seramai 18 orang diberkas kerana disyaki membawa masuk warga asing ke negara ini menggunakan pas kerja yang diperoleh menerusi perisytiharan palsu, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini.

Berita Mediacorp melaporkan, penangkapan itu adalah sebahagian daripada operasi penguatkuasaan yang dijalankan MOM pada 14 September lalu melibatkan satu sindiket. Operasi tersebut dijalankan sepanjang 12 jam di 22 lokasi di seluruh negara.

“MOM memulakan siasatan pada Julai lalu setelah menerima maklumat mengenai percubaan seorang warga asing untuk mendapatkan pas kerja secara haram.

“Menerusi analisis terperinci sepanjang beberapa bulan, MOM membongkar kegiatan satu sindiket yang disyaki menubuhkan beberapa syarikat palsu untuk memohon pas kerja, walaupun ia tidak mempunyai sebarang operasi perniagaan yang sah,” jelas kementerian dalam kenyataan akhbar di sini.

Siasatan sedang dijalankan.

Di bawah Akta Pengambilan Kerja Tenaga Kerja Asing (EFMA), sesiapa yang didapati bersalah mendapatkan pas kerja bagi perniagaan yang tidak wujud, tidak beroperasi, atau tidak memerlukan pengambilan kerja tenaga asing boleh didenda sehingga S$6,000, penjara dua tahun, atau kedua-duanya bagi setiap tuduhan. Sesiapa yang disabit kesalahan atas enam atau lebih tuduhan juga boleh disebat.

Mereka yang menggajikan pekerja asing yang mencari kerja secara haram boleh didenda sehingga S$30,000, dihukum penjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya atas setiap tuduhan. Majikan yang didapati bersalah akan dilarang mengambil pekerja asing.

Warga asing yang menerima pekerjaan tanpa pas kerja yang sah menghadapi hukuman denda sehingga S$20,000, penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali. Mereka yang disabit kesalahan akan dilarang bekerja di Singapura buat selama-lamanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN