Zionis paksa keluarga Palestin bayar sewa jika tidak mahu diusir - Utusan Malaysia

Zionis paksa keluarga Palestin bayar sewa jika tidak mahu diusir

SEKUMPULAN penunjuk perasaan mengibarkan bendera Palestin ketika demonstrasi membantah penempatan Yahudi di Sheikh Jarrah di Baitulmuqaddis. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Biarpun mahkamah Israel menangguhkan keputusan untuk mengusir sejumlah keluarga Palestin yang menetap di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah, perkara itu dilihat tetap tidak adil.

Hal ini kerana, Israel mencadangkan, empat keluarga Palestin yang mengemukakan petisyen membantah pengusiran sebelum ini supaya mengiktiraf tanah yang mereka duduki itu sebenarnya adalah milik syarikat perumahan Yahudi.

Selain itu, 70 penduduk dari empat keluarga tersebut perlu membayar sewa kepada syarikat berkenaan sekiranya mereka masih ingin menetap di Sheikh Jarrah.

Di bawah pelan mahkamah Israel, penduduk Palestin di Sheikh Jarrah akan kekal sebagai ‘penyewa yang dilindungi’ dan tidak boleh diusir selagi mereka membayar sewa kepada syarikat Yahudi yang mendakwa tanah itu adalah milik nenek moyang.

Mahkamah rendah Israel sebelum ini meluluskan pengusiran keluarga Palestin dari Sheikh Jarrah dengan memutuskan kediaman mereka dibina atas tanah yang dimiliki orang Yahudi sebelum Israel dibangunkan pada 1948.

Namun, penduduk Palestin sifatkan rancangan tersebut sebagai tidak adil dan terus menuntut hak mereka terhadap tanah di Sheikh Jarrah.

“Zionis memberi tekanan untuk mencapai persetujuan dengan kami.

“Kami dipaksa untuk menyewa sekiranya ingin terus tinggal di Sheikh Jarrah, sedangkan itu adalah tanah milik Palestin. Sudah tentu kami menolak cadangan tidak masuk akal itu,” kata seorang daripada penduduk, Muhammad el-Kurd.

Peguam yang mewakili semua keluarga Palestin tersebut, Sami Irshaid turut menolak tuntutan Israel terhadap tanah di Sheikh Jarrah.

Beliau berharap persetujuan mengenai isu berkenaan akan dicapai dalam tempoh terdekat.

“Tujuan utama perjuangan ini adalah memastikan penduduk Palestin tidak diusir dari tanah sendiri dan mereka tidak kehilangan rumah,” ujarnya.

Kes tersebut mendapat perhatian komuniti antarabangsa sehingga mencetuskan konflik selama 11 hari antara Israel dan pergerakan Hamas di Semenanjung Gaza pada Mei lalu.

Penduduk Palestin menegaskan tanah di Sheikh Jarrah adalah milik mereka dan mendapat jaminan dari Jordan.

Selain itu, mereka juga melihat kes yang berlaku ketika ini adalah sebahagian daripada usaha penduduk Yahudi untuk merampas kediaman mereka di Baitulmuqaddis.

Pada 2003, tanah di Sheikh Jarrah didakwa dibeli oleh sebuah syarikat Yahudi yang bercadang untuk membangunkan kawasan tersebut sebagai penempatan mereka. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya