JEDDAH: Bermula hari ini, vaksinasi Covid-19 diwajibkan untuk semua penduduk Arab Saudi yang ingin masuk ke premis kerajaan dan swasta.
Menurut sumber rasmi Kementerian Dalam Negeri, hanya penduduk yang sudah divaksin dibenarkan memasuki mana-mana pejabat kerajaan atau swasta serta kemudahan kemersial di seluruh negara.
Jelas sumber itu, vaksinasi diwajibkan untuk melakukan kegiatan ekonomi, komersial, budaya, hiburan, sukan, termasuk kemudahan pendidikan dan pengangkutan awam.
Aplikasi Tawakkalna akan digunakan untuk memeriksa status vaksinasi penduduk Arab Saudi.
Syarat itu terpakai untuk mereka yang sudah mendapatkan satu atau dua dos suntikan vaksin yang diluluskan kerajaan negara ini, selain sudah pulih dari jangkitan Covid-19.
Dalam pada itu, pengecualian diberikan kepada penduduk yang sudah berusia serta yang mempunyai masalah kesihatan tertentu.
Kementerian Perbandaran dan Hal Ehwal Luar Bandar dan Perumahan sebelum ini mengumumkan hanya penduduk yang sudah divaksin dibenarkan memasuki pejabat kerajaan serta swasta bermula 1 Ogos ini.
Lebih separuh penduduk negara ini sudah menerima suntikan dos pertama dan satu daripada lima menerima dua dos vaksin. – AGENSI










