KABUL: Pasukan perisikan Amerika Syarikat (AS) memberi amaran Taliban akan menguasai ibu negara Afghanistan, Kabul dalam tempoh 90 hari lagi.
Perang saudara antara Taliban dan tentera kerajaan bergolak selepas pengunduran tentera AS dari negara itu, baru-baru ini.
Taliban sudah menguasai sembilan dari 34 wilayah negara itu dan hanya menunggu masa untuk menawan Kabul.
Pegawai AS yang enggan dikenali berkata, keadaan semasa yang berlaku sekarang adalah salah dan sangat membimbangkan.
Katanya, disebabkan Presiden AS, Joe Biden tidak menyesal dengan keputusan pengunduran tentera itu, tentera Afghanistan perlu berjuang habis-habisan untuk negara mereka sendiri.
Biden sebelum ini menjelaskan AS sudah melabur trilion dolar selama 20 tahun sejak menguasai negara itu.
“Kita sudah melatih dan menyediakan kelengkapan moden kepada 300,000 tentera Afghanistan. Oleh itu, pemimpin mereka perlu bekerjasama kerana kita sudah kehilangan ribuan anggota tentera sama ada mati atau cedera,” jelasnya.
Jun lalu, beberapa media AS mendedahkan perisikan negara itu memberi amaran ibu kota Afghanistan bakal lumpuh di tangan Taliban dalam tempoh enam bulan. -AGENSI










