COLOMBO: Kementerian Pertahanan Sri Lanka menerima 300,000 dos vaksin Covid-19 keluaran Sinopharm yang disumbangkan oleh Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA).
Lapor Xinhua, bekalan vaksin itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike pada pagi semalam.
Wakil Kedutaan China di Sri Lanka, Wan Dong menyerahkan bekalan vaksin Sinopharm kepada Menteri Pertahanan, Jeneral Kamal Gunaratne dalam satu majlis yang diadakan.
Menurut Gunaratne, anggota pasukan keselamatan serta keluarga mereka dan bekas anggota tentera dijangka menerima suntikan vaksin tersebut.
“Kami amat gembira menerima 300,000 dos vaksin Sinopharm untuk anggota pasukan keselamatan dan ahli keluarga mereka.
“Ini merupakan sumbangan yang tepat pada masanya,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan bekalan vaksin itu.
Wan Dong menyifatkan sumbangan bekalan vaksin itu sebagai solidariti antara kedua-dua negara dalam menangani pandemik Covid-19.
Sementara itu, Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa menerusi akaun Twitter menzahirkan ucapan terima kasih kepada PLA atas sumbangan tersebut.
Katanya, bantuan dari China akan mempercepatkan lagi usaha vaksinasi di Sri Lanka. – AGENSI










