TOKYO: Roller coaster paling laju di dunia di Taman Tema Fuji-Q, Jepun, terpaksa ditutup selepas enam pengunjung yang menaiki permainan mencabar itu mengalami kecederaan retak tulang.
Lapor The Sun, empat daripada individu yang cedera itu mendakwa mengalami patah tulang belakang.
Roller coaster Do-Dodonpa yang dibina pada 2001, merupakan tunggangan paling laju di Jepun kerana bergerak pada kelajuan 180.24 kilometer per jam (km/j) dalam masa 1.56 saat.
Permainan roller coaster itu digantung sementara sehingga dimaklumkan kelak berikutan kes kecederaan yang dilaporkan kepada pihak berkuasa, 17 Ogos lalu.
Menurut pengurusan taman tema, pihaknya baharu sahaja menerima laporan kecederaan retak tulang meskipun roller coaster itu sudah beroperasi hampir dua dekad lalu.
Pada 2017, permainan itu diubah suai bagi menjadikannya lebih laju iaitu dari 170 km/j hingga 180.24 km/j namun tiada laporan kecederaan serius diterima, setakat Disember lalu.
Pihak pengurusan taman tema itu memaklumkan tiada masalah teknikal dikesan selepas siasatan dijalankan.
Syarikat pembinaan permainan roller coaster itu, Sansei Technologies memohon maaf kepada pengunjung yang cedera kerana tidak mengetahui punca sebenar kecederaan itu berlaku. – AGENSI