KINGSTOWN: Perdana Menteri St Vincent dan Grenadines, Ralph Gonsalves dimasukkan ke hospital selepas mengalami kecederaan di bahagian kepalanya pada protes anti kerajaan yang membantah cadangan mewajibkan suntikan vaksin Covid-19.
Lapor BBC, ketika kejadian pemimpin itu dilihat sedang berjalan di hadapan penunjuk perasaan yang berkumpul di luar Parlimen dan kepalanya cedera selepas dibaling batu.
Beberapa gambar menunjukkan kepala Gonsalves berdarah dan beliau kemudian dibawa keluar dari tempat kejadian.
Gonsalves yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata, beliau dipindahkan ke sebuah hospital di Barbados untuk menjalani imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) setelah dinasihatkan oleh pakar perubatan.
Penunjuk perasaan berkumpul untuk mengambil bahagian dalam protes membantah cadangan mewajibkan semua petugas kesihatan di negara itu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Berdasarkan laporan, batu dan botol air dilemparkan dalam tunjuk perasaan tersebut.
Pejabat Perdana Menteri memberitahu agensi Reuters bahawa Gonsalves cedera terkena projektil namun media tempatan melaporkan pemimpin itu terkena lontaran batu. – AGENSI










