BANGKOK: Seorang peserta protes anti kerajaan masih berada dalam keadaan koma dengan peluru tertanam di kepalanya.
Pihak polis menafikan sekeras-kerasnya menggunakan sebarang peluru hidup bagi menyuraikan demonstrasi menentang Perdana Menteri, Prayuth Chan Ocha.
Mangsa berusia 20 tahun dikejarkan ke Hospital Ratchawithi semalam dengan kesan kecederaan akibat tembakan di lehernya.
Hasil imbasan sinar X menunjukkan terdapat sebutir peluru yang mengenai bahagian otaknya.
Sekurang-kurangnya enam peserta cedera selepas pertempuran antara peserta protes dengan pihak polis berdekatan kediaman Prayuth.
Dalam tempoh 10 hari, ini merupakan kali keenam polis menggunakan gas pemedih mata, peluru getah dan penyembur air bagi menyuraikan demonstrasi.
Protes dianjurkan kerana rakyat tidak berpuas hati dengan pengurusan pandemik Covid-19 di negara itu. -REUTERS










