Pemandu penghantaran dihukum penjara, curi bungkusan ditanda sebagai hilang - Utusan Malaysia

Pemandu penghantaran dihukum penjara, curi bungkusan ditanda sebagai hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Seorang pemandu penghantaran Ninja Van dijatuhi hukuman penjara 15 minggu kerana menggelapkan puluhan bungkusan bernilai S$34,000 yang ditandakan sebagai hilang tetapi disimpan di rumah ibu mentuanya.

Apabila syarikat Ninja Van mendapat tahu tentang jenayahnya dan polis menyerbu rumah tertuduh, Muhammad Nur Sheqal Azis, mereka menemukan lebih 100 barangan yang dicuri sepanjang tempoh lima bulan.

Berita Mediacorp melaporkan, tertuduh, 31, mengaku bersalah atas satu tuduhan pecah amanah jenayah dengan mencuri.

Mahkamah diberitahu Muhammad Nur Sheqal bekerja dengan Ninja Van selama sekitar satu setengah tahun apabila dia mula mencuri barangan daripada syarikat tersebut.

Dia akan mendapatkan bungkusan yang perlu dihantar daripada kakitangan di gudang. Namun, dia akan mengelak langkah wajib mengimbas setiap barangan menggunakan telefon pintarnya sebelum membuat penghantaran.

Syarikat berkenaan meletakkan kepercayaan kepadanya untuk mengimbas setiap barangan kerana dia sudahpun bekerja di sana agak lama dan tidak ada orang yang memeriksa tindakannya itu, kata pendakwa.

Tertuduh kemudian akan melaporkan barangan itu hilang kepada penyelianya sebelum menyimpan barang tersebut dalam van kerja dan memandu ke rumah ibu mentuanya di mana dia menyimpan barang berkenaan buat sementara.

Selepas itu, dia akan memindahkan barangan yang dicuri ke rumahnya sendiri untuk disimpan.

Dia mula melakukan demikian dari sekitar Jun 2019 hingga 13 November 2019. Tindakannya itu pada mulanya tidak dikesan kerana ‘terlalu banyak pergerakan di gedung itu lantas sukar untuk Ninja Van memantau rakaman CCTV’, kata Timbalan Pendakwa Raya Phoebe Tan.

Barangan yang dicuri juga agak kecil, lebih sukar untuk dikesan.

Pada Oktober 2019, syarikat itu menyedari barangan yang dilaporkan hilang semakin meningkat. Seorang pengurus di Ninja Van, Li Mengxia menjalankan pemeriksaan dan mendapati barangan yang dilaporkan hilang itu dikaitkan dengan tertuduh.

Sejumlah 106 barangan bernilai S$34,035 ditemukan di rumahnya. Barangan itu kebanyakannya berkaitan teknologi seperti telefon pintar dan aksesori, tablet, jam tangan dan speaker tanpa wayar.

Barang yang paling mahal yang dicuri adalah telefon-telefon Samsung Galaxy Note 10+ yang berharga S$1,598 setiap satu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN