Taliban mula masuki Kabul dari ‘semua arah’ - Utusan Malaysia

Taliban mula masuki Kabul dari ‘semua arah’

ANGGOTA kumpulan Taliban berkawal di jalanan di Herat, Afghanistan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Kumpulan militan Taliban dilaporkan sudah memasuki ibu negara Afghanistan, ketika pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) bertungkus-lumus membawa keluar para diplomatnya dari negara ini.

Reuters melaporkan, Taliban memasuki Kabul dari ‘semua arah’ tanpa menjelaskan lebih lanjut.

Kemasukan ke Kabul itu  merupakan yang pertama kali buat Taliban selepas dua dekad ‘diusir’ oleh tentera pakatan yang diketuai AS susulan peperangan sebelum ini.

Kumpulan militan itu juga yakin dapat menawan Kabul dalam tempoh beberapa hari akan datang, sekali gus menguasai seluruh Afghanistan.

Ciapan akaun Twitter pejabat presiden Afghanistan memaklumkan bunyi tembakan dapat didengari di beberapa kawasan di Kabul, namun keadaan masih terkawal.

Diplomat AS dibawa segera ke lapangan terbang Kabul dengan kawalan paling ketat selepas Presiden Joe Biden menghantar 5,000 tentera ke negara ini bagi membantu proses pemindahan rakyatnya.

Terdahulu, Taliban menawan bandar Jalalabad tanpa sebarang pertempuran bagi melindungi keselamatan penduduk awam, sekali gus memberi peluang kepada kumpulan militan tersebut menguasai lebuh raya utama.

Ketika ini, lapangan terbang Kabul menjadi satu-satunya ‘aset yang masih berada dalam tangan kerajaan Afghanistan’, selain menjadi jalan keluar paling efektif.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini merayu agar semua negara jiran Afghanistan membuka pintu sempadan bagi membenarkan ratusan ribu penduduk yang melarikan diri dari Taliban.

Rayuan itu dibuat ketika semakin ramai penduduk Afghanistan meninggalkan kediaman mereka akibat takut dengan ancaman Taliban. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN