KAHERAH: Lapan anggota pasukan keselamatan Mesir maut manakala enam lagi cedera dalam serangan bom tepi di bahagian utara Semenanjung Sinai.
Lapor Al Jazeera, seorang pegawai yang enggan mendedahkan identitinya berkata, pasukan keselamatan itu menaiki kenderaan berperisai ketika bom meletup di New Rafah, sebuah pekan di sempadan Semenanjung Gaza.
Individu yang mengalami kecederaan serius dipindahkan ke sebuah hospital tentera di bandar el-Arish berhampiran Mediterranean pada Khamis lalu.
Kumpulan militan mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut.
Dalam serangan serupa pada bulan lalu, kumpulan itu menyerang sebuah pusat pemeriksaan di bandar Sheikh Zuweid sehingga menyebabkan sekurang-kurangnya lima anggota tentera maut dan enam lagi cedera.
Mesir bertempur dengan kumpulan bersenjata di Sinai utara selama beberapa tahun.
Keganasan meningkat di wilayah itu selepas rampasan kuasa pada 2013 yang menggulingkan Presiden dipilih, Mohamed Morsi di tengah-tengah tunjuk perasaan di seluruh negara menentang pemerintahan singkatnya. – AGENSI










