'Jangan meremehkan makhluk yang dilihat kecil, lemah' - Sultan Brunei - Utusan Malaysia

‘Jangan meremehkan makhluk yang dilihat kecil, lemah’ – Sultan Brunei

SULTAN HASSANAL BOLKIAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR SERI BEGAWAN: Antara rahsia atau hikmah daripada peristiwa hijrah itu ialah ‘peringatan’, supaya kita jangan meremehkan makhluk-makhluk yang dilihat sebagai kecil dan lemah, tetapi di sisi Allah, ia boleh dikerah untuk jadi tentera yang gagah bagi mengajar makhluk-makhluk yang kuat.

Demikian titah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah ketika berkenan mengurniakan perutusan sempena sambutan Maal Hijrah di Istana Nurul Iman.

Memetik laporan Pelita Brunei, titah baginda, contoh makhluk yang kecil dan lemah itu ialah seperti bakteria, bahkan lebih kecil lagi daripada bakteria, virus yang mampu untuk mencetuskan penyakit-penyakit berjangkit.

Dengan merujuk kepada hikmah, titah baginda, bukankah umat manusia sekarang ini sedang berhadapan dengan ancaman virus hingga korban wabak bawaan virus di seluruh dunia sudah melepasi empat juta.

“Jadi dimanakah kekuatan manusia berbanding dengan virus, makhluk yang sangat halus lagi lemah itu? Di sini, kita juga boleh belajar dari sejarah Namrud, penguasa yang melontarkan Nabi Ibrahim ke dalam api yang bernyala-nyala, di mana penguasa yang kejam lagi gagah ini, telah ditakdirkan mati di tangan seekor nyamuk yang diutus oleh Allah sebagai tentera-Nya.

“Begitulah, jika Allah berkehendak, makhluk yang lemah boleh sahaja memusnahkan atau mengharu-birukan makhluk yang kuat dan gagah.

“Demikian antara iktibar yang boleh diambil daripada sejarah hijrah,” titah baginda.

Titah baginda, apabila kita benar-benar menghayati rahsia atau hikmah pengajaran seperti ini, akan datanglah keinsafan, bahawa tiada satu kuasa pun yang dapat mengatasi kuasa Allah.

Sultan Hassanal bertitah, tahun hijrah merujuk kepada sejarah hijrah Nabi Muhammad SAW, di mana sejarah ini tiada duanya dan ia berlaku dengan perintah Allah untuk menyelamatkan akidah umat.

Baginda bertitah, melalui hijrah, pelbagai iktibar atau pengajaran dapat dikenal pasti, seperti bagaimana Allah memberikan pertolongan-Nya yang luar biasa kepada Nabi Muhammad dengan menghantar makhluk-makhluk yang lemah, iaitu labah-labah, burung merpati dan pohon kayu sebagai bala tentera-Nya bagi melindungi Rasulullah.

Ini, titah baginda, tidak syak lagi adalah satu ‘iktibar tertinggi’, iaitu betapa Allah dengan kuasa-Nya mampu untuk melakukan apa saja yang dikehendaki-Nya, termasuk menggagalkan semua usaha dan rancangan musuh untuk menangkap dan membunuh nabi dan rasul-Nya.

“Tidakkah ini bukti nyata mengenai kekuasaan Allah? Allah tidak menghantar singa atau gajah untuk memusnahkan musuh, tetapi hanya menghantar labah-labah dan burung merpati, dua makhluk yang sangat lemah untuk mengelirukan musuh, sekali gus menggagalkan niat jahat mereka.

“Inilah antara pengajaran besar daripada peristiwa hijrah, ia merupakan petunjuk daripada Allah yang mengandungi rahsia besar atau hikmah,” katanya.

Baginda bertitah, dalam kehidupan, menyedari dan mengakui kekuasaan Allah adalah sangat-sangat dituntut kerana dengan cara ini, sifat kehambaan akan bertambah-tambah subur, menjadikan kita akan terpanggil untuk sentiasa merendah diri kepada Allah, bukan seperti umat-umat terdahulu yang rata-rata menyombongkan diri tidak mahu mengakui kekuasaan Allah.

“Impak baik orang yang merendah diri dengan Allah, akan menjadikan orang itu seorang yang soleh yang sentiasa tunduk mentaati perintah dan suruhan Allah,” titah baginda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya