India beri 10 juta suntikan vaksin Covid-19 sehari - Utusan Malaysia

India beri 10 juta suntikan vaksin Covid-19 sehari

PEMANDU kenderaan roda tiga menerima suntikan vaksin Covid-19 di Bangalore, India. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: India dilaporkan memberi lebih 10 juta suntikan vaksin Covid-19 sehari buat pertama kali, ketika negara ini dijangka berdepan dengan gelombang jangkitan baharu dalam tempoh terdekat.

Menurut Kementerian Kesihatan India, 10 juta suntikan itu diberikan kelmarin, sekali gus mengatasi rekod sebelumnya iaitu 9.2 juta suntikan.

Kerajaan India sebelum ini berdepan kritikan hebat selepas lebih 200,000 penduduk maut akibat Covid-19 pada April dan Mei lalu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi memuji kejayaan tersebut.

“Tahniah kepada mereka yang sudah menerima suntikan vaksin dan mereka yang menjadikannya sebagai kenyataan,” tulisnya dalam Twitter.

Kerajaan India menyasarkan pemberian vaksin kepada 1.1 bilion penduduk dewasa menjelang akhir tahun ini, namun terpaksa menangguhkan hasrat tersebut berikutan kekurangan bekalan dos.

Setakat ini, hanya 15 peratus penduduk sudah mendapatkan dua dos suntikan sejak program imunisasi bermula Januari lalu.

Ketika ini, kadar jangkitan Covid-19 di India menurun secara drastik sejak Mei dan April lalu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN