TEHRAN: Ulama ultra konservatif, Ebrahim Raisi mengangkat sumpah sebagai Presiden Iran yang kelapan negara itu.
Lapor Al Jazeera, Raisi mengangkat sumpah jawatan itu dalam satu upacara yang berlangsung di Parlimen di Tehran, semalam.
Sambil memegang Al-Quran, beliau membaca ikrar angkat sumpah jawatan, sebelum berjanji akan menjadikan Iran lebih kuat.
Raisi, 60, yang menggantikan Hassan Rouhani, berkata rakyat Iran mahu beliau mengekalkan kebebasan negara dan menentang sebarang penindasan asing.
Beliau juga berjanji untuk meneruskan `diplomasi serta penglibatan yang konstruktif dengan dunia’.
Pemimpin itu mengulangi pendirian bahawa merapatkan hubungan dengan negara serantau akan menjadi keutamaan dalam dasar luarnya.
Raisi memenangi pilihan raya presiden Iran pada Jun lalu selepas menewaskan tiga calon yang lain. – AGENSI










