fbpx

Covid-19: ‘Syaitan dilihat sudah ada modal’

SULTAN HASSANAL BOLKIAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR SERI BEGAWAN: Mufti Kerajaan, Pehin Datu Seri Maharaja Datuk Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Abdul Aziz Juned menjelaskan bahawa Perutusan Khas Sultan Brunei bersabit munculnya secara tiba-tiba jangkitan tempatan Covid-19 pada 7 Ogos lalu mempunyai makna yang tersendiri selaku keprihatinan raja terhadap situasi yang mengejutkan ini dan yang tentunya merisaukan kita semua.

Pendekatan Sultan Hassanal Bolkiah itu, jelas beliau, dapat menenteramkan jiwa dan menyejukkan hati dan itulah, berkat namanya.

Pelita Brunei melaporkan, dalam ceramah Mufti Kerajaan yang bertajuk ‘Mufti Merespons Perutusan Raja Bersabit Jangkitan Baharu Covid-19’ yang disiarkan di Radio dan Televisyen Brunei, beliau seterusnya menambah, secara kebetulan pula muncul ketika negara menyambut Tahun Baharu Hijrah 1443 yang pada lazimnya setiap menjelang tahun baharu digalakkan kita untuk memuhasabah diri, dalam makna elok untuk menyemak balik siapa diri kita ini dan apa yang sudah kita buat atau alami pada sepanjang tahun lalu.

Menurut beliau, untuk menjawab ‘siapa kita’ memadai dengan berkata, ‘Saya adalah seorang Muslim’ dan dalilnya, Allah Maha Mengetahui pada setiap hari kita wajib mengungkap : Syahadah (Saya naik saksi tiada Tuhan yang disembah melainkan hanya Allah jua dan saya naik saksi bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah).

“Ini, ungkapan keramat yang menempatkan kita pada kedudukan tertinggi selaku seorang Muslim.

“Kemudian, apa yang sudah kita buat?  Paling asasi yang wajib kita buat, ialah ‘menyembah Allah’, malah ini bukan kerja setahun dua, tetapi adalah kerja seumur hidup,” katanya.

Menurut beliau, inilah kata putus daripada Allah, kita tidak boleh lari daripadanya.

“Kita wajib sembahyang, iaitu sebagai cara yang wajib menyembah Allah itu. Sementara lain-lain ibadat kita buat juga. Ada ibadat wajib dan ada ibadat sunat. Ibadat wajib selain sembahyang ialah seperti puasa Ramadan, menunaikan haji bagi yang mampu dan mengeluarkan zakat.

“Kemudian macam-macam kerja lagi boleh jadi ibadat. Mencari nafkah – ibadat. Menyekolahkan anak-anak – ibadat. Berkhidmat sama ada dengan kerajaan atau swasta – ibadat. Menangkap ikan – ibadat. Bercucuk tanam – ibadat. Pendeknya, semua aktiviti kita adalah ibadat, sekiranya ia dibuat dengan mematuhi syarak (tidak bertentangan dengan agama),” tegasnya.

Semua itu, katanya, dinamakan juga sebagai pengalaman yang kita buat dan alami pada sepanjang tahun dan tentunya pengalaman ini banyak sekali, sukar untuk dikira tetapi antara yang banyak itu tentu saja ada yang paling tersendiri untuk diingati.

“Bagi kita apa? Ya, dalam tahun 1442, negara kita juga turut mengalami saat-saat genting menghadapi cabaran jangkitan Covid-19. Namun alhamdulillah, sebagaimana titah Perutusan Khas Sultan Brunei telah menyebut bahawa negara kita lebih setahun menikmati keadaan selamat dari jangkitan tempatan. Ini tidak syak lagi adalah satu nikmat dan setiap nikmat itu wajib disyukuri kerana nikmat bukan kita yang mencipta tetapi adalah langsung datangnya daripada Allah sendiri. Allah pencipta dan pengurnia nikmat itu,” tegasnya.

Beliau kemudian menekankan, tetapi awas, syaitan tidak suka kita bersyukur dan sentiasa mencari-cari jalan untuk memalingkan kita daripada bersyukur, supaya kita ini melakukan kufur nikmat (mengingkari nikmat dengan keluar daripada taat kepada Allah). 

Beliau menekankan bahawa syaitan dilihat sudah ada modal, ada alasan kuat untuk memesongkan akidah kita apabila setelah lebih setahun Covid-19 menyepi di negara kita ini, tetapi tiba-tiba ia muncul dengan mendadak menjangkiti warga tempatan pada 7 Ogos 2021 yang membabitkan seramai tujuh orang dan terus meningkat pada hari-hari berikutnya.

Ini kata beliau, sudah tentu akan membuka peluang keemasan bagi syaitan untuk melontarkan bisikan-bisikan jahatnya kepada kita.

“Syaitan akan terus berbisik untuk merobohkan pegangan kita. Dia akan menjadikan jangkitan tempatan yang tiba-tiba berlaku di negara ini setelah lebih setahun kita bersih sebagai modal untuk memperli kita untuk menempelak bahawa penggunaan Vaksin Ketuhanan adalah kononnya sia-sia, tidak berkesan :  zikir, doa dan al-Qur’an tidak mampu untuk mengekang Covid-19.

“Jika kita termakan bisikan seperti ini, syaitan akan bersorak kerana berjaya memesongkan akidah kita, berjaya membawa orang-orang Brunei berpaling daripada zikir, daripada doa dan daripada al-Qur’an,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan sebagai langkah berhati-hati untuk jangan terjebak kepada perangkap syaitan, maka kita mustahak muhasabah kejadian ini secara ilmu (keilmuan) dengan merujuk kepada kitab Allah, al-Qur’an dan al-sunnah sebagai panduan dan sandaran.

“Al-Qur’an dan al-Sunnah memberitahu bahawa setiap bala itu berpunca dari dosa, dari tangan-tangan manusia sendiri,” katanya.

Inilah, kata beliau, yang kita dengar dalam perutusan khas raja pada malam Rabu, 17 Ogos 2021, baginda menyebut satu perkara hak lagi betul bahawa bala adalah bersumber dari dosa, dan tiada ia (bala) itu berundur, kecuali dengan istighfar dan taubat sahaja.

POPULAR

KOSMO! TERKINI