SYDNEY: Kerajaan Australia mengumumkan Moderna akan menjadi vaksin Covid-19 ketiga yang bakal digunakan dalam kempen vaksinasi negara ini bermula bulan depan.
Lapor Al Jazeera, Perdana Menteri, Scott Morrison berkata, pengawal selia perubatan Australia, The Therapeutic Goods Administration (TGA) meluluskan penggunaan vaksin Moderna bagi individu berumur 18 tahun dan ke atas.
Katanya, sebanyak sejuta dos vaksin Moderna akan tiba pada akhir bulan depan.
Menurut Morrison, ia merupakan sebahagian daripada jumlah 10 juta dos suntikan Moderna yang akan diagihkan ke Australia pada akhir tahun ini.
Ketua TGA, John Skerritt menyifatkan vaksin Moderna sebagai ‘amat berkesan’.
Australia mengalami kekurangan bekalan vaksin Pfizer dan AstraZeneca buatan tempatan yang mana ramai menolak untuk mengambilnya kerana risiko masalah pembekuan darah.
Setakat ini, hanya 22 peratus orang dewasa daripada keseluruhan 26 juta penduduk Australia sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 lengkap.
Kerajaan menyasarkan untuk memberikan vaksin Covid-19 kepada semua warga Australia dewasa menjelang akhir tahun ini. – AGENSI










