BEIJING: China hari ini merekodkan sifar kes tempatan Covid-19 selepas lebih sebulan bergelut dengan penularan varian Delta.
Pada pertengahan Julai lalu, sejumlah tukang cuci di lapangan terbang di Nanjing disahkan positif Covid-19 sehingga mencetuskan kluster jangkitan di beberapa bandar utama.
Namun, pihak berkuasa kesihatan China mengambil pendekatan segera dengan melaksanakan perintah berkurung, sekatan perjalanan dan ujian saringan secara besar-besaran bagi mengekang penularan.
Selepas itu, kes jangkitan tempatan mula menurun selama lebih dua minggu.
Data yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan menunjukkan kes jangkitan adalah sifar selepas ‘pertarungan’ selama lima minggu.
Sementara itu, pakar kesihatan di negara ini yakin China dapat membentuk imuniti kelompok menjelang hujung tahun ini. – AFP










