BEIJING: Presiden China, Xi Jinping berjanji akan menyeimbangkan pendapatan berlebihan golongan bilionair di negara itu bagi mengatasi jurang ketidaksamaan yang semakin meningkat.
Menurut laporan media tempatan, pemerintah perlu mengatur pendapatan golongan tersebut serta menggalakkan individu berpendapatan tinggi dan sektor perusahaan menyumbang lebih banyak kepada masyarakat.
Xi berkata demikian semasa mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Hal Ehwal Ekonomi dan Kewangan Pusat Parti Komunis China, lapor The Guardian.
Suruhanjaya itu akan meneruskan agenda kemakmuran bersama yang menjadi fokus utama penggubal dasar China selepas laporan dalaman jawatankuasa parti mengenai kemunculan baharu ahli perniagaan yang kaya-raya.
Polisi itu muncul ketika desakan semakin meluas oleh Beijing untuk menguasai syarikat swasta terbesar dalam industri daripada teknologi hingga pendidikan.
Penganalisis berkata, syarikat permainan dan media sosial, Tencent sudah menyatakan komitmen tanggungjawab sosialnya selepas merekodkan pertambahan keuntungan pada suku kedua tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Tencent, Pony Ma berkata, syarikat itu menjalankan perniagaan untuk membantu masyarakat dengan menggunakan teknologi dan kepakaran bagi membantu perniagaan kecil dan sederhana, perkhidmatan awam dan syarikat berkolaborasi secara dalaman serta berhubung dengan pengguna secara luaran.
Tencent merekodkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 29 peratus bagi tempoh tiga bulan hingga Jun sebanyak AS$6.6 bilion (RM26.4 bilion).
Pengarah Nongfu Spring iaitu syarikat pengeluar air minuman, Zhong Shanshan merampas takhta Jack Ma dan Pony Ma sebagai hartawan paling kaya di China.
Beliau memiliki kekayaan melebihi AS$72 bilion (RM288 bilion) iaitu AS$24 bilion (RM96 bilion) mengatasi Jack Ma.









